
AMPANG: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu melihat kembali keikhlasan parti sendiri sebelum mempersoal keikhlasan pihaknya lain dalam sebarang rundingan pilihan raya.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan akan menjadi sukar sekiranya mana-mana pihak terlebih dahulu meletakkan syarat, sedangkan pihak lain telah menunjukkan kesediaan dan memberi ruang kepada BN untuk bertanding di kawasan yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Katanya, PH sentiasa terbuka untuk berbincang, malah sebelum ini menunjukkan keikhlasan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kawasan yang pernah dimenangi PKR di Selangor.
“Kita ikhlas berbincang ketika pilihan raya negeri dan harap ada keikhlasan ketika kita berbincang di tempat lain. Jadi ingatlah, kita di Johor, di Selangor, kita ikhlas turut memberikan kemenangan di kawasan-kawasan yang telah dimenangi.
“Jangan sebelum berbincang, telah meletakkan syarat. Bertanding tempat kalah sahaja, susah lah. Di Selangor, kita beri kawasan yang kita menang kepada BN.
“Jadi keikhlasan itu kena cermin diri sendiri juga. Dan kita terbuka untuk berbincang. Tetapi masing-masing kena ikhlas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Madani Kita bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut memaklumkan beliau sudah berhubung dengan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, namun menunggu masa Ketua Menteri Melaka itu bersedia untuk memulakan perbincangan serta perundingan.
“Rauf menjelaskan dia menunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO Pusat dan BN pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya.
Menjawab dakwaan sesetengah pihak mengapa PH masih lagi ingin bekerjasama dengan BN yang dianggap sebagai ‘sakau’, Amiruddin berkata anggapan tersebut hanya kepada individu, bukan parti.
“Ia adalah individu dan bukan merujuk kepada sebuah parti dan kita ada pusat. Sebab itu kita bukannya menetapkan harus kerja dengan UMNO.
“Kita kena menetapkan jadi bekerjasama dengan pelbagai pihak. Bila UMNO cakap boleh nak kerjasama, okay lah. Kita bincang. Kalau nak beranggapan sebegitu, kita dah ubah keadaan kesekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin turut berkata, pihaknya bersedia bertanding di kawasan selain 21 kerusi yang UMNO BN tetapkan, namun ia masih memerlukan perbincangan yang ikhlas.
“Itu memang kerusi yang patut kita tangani (selain 21 kerusi). Tetapi kita tengoklah pada perbincangan. Belum berbincang lagi, saya tidak terlalu awal.
“Tetapi kesannya adalah untuk ikhlas. Kita pernah berbincang dengan ikhlas. Malahan berbesar hati berkongsi kawasan yang kita menang,” katanya. – UTUSAN
The post UMNO perlu lihat ikhlas diri sendiri terlebih dulu appeared first on Utusan Malaysia.






