
PETALING JAYA: Rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilakukan secara terbuka tanpa meletakkan sebarang syarat yang boleh dilihat berat sebelah.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, malah BN perlu mengetepikan sikap ‘abang besar’ dan lebih terbuka dalam rundingan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya demi memastikan pembahagian kerusi serta strategi pilihan raya dapat diputuskan secara adil.
Katanya, keputusan BN untuk bertanding 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka merupakan syarat berat sebelah yang memberi kelebihan kepada gabungan tersebut sedangkan rundingan belum pun dilaksanakan.
“Kita dalam mengadakan rundingan tak boleh bersikap ‘abang besar’. Sepatutnya sebarang perbincangan tidak boleh dikenakan apa jua syarat apatah lagi ia hanya menyebelahi sebelah pihak.
“Sepatutnya, ruang rundingan perlu terbuka dengan semangat perpaduan untuk memberi kestabilan politik khususnya kepada rakyat di Melaka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan BN kekal bertanding di semua 21 kerusi DUN tanpa kompromi dalam PRN Melaka.
Beliau berkata, kesemua 21 kerusi DUN milik BN akan menjadi garis sempadan perbincangan di antara parti itu dengan mana-mana parti lain.
Khalid berkata, secara peribadi beliau berpandangan pendirian BN itu berat sebelah kerana sekiranya gabungan berkenaan memenangi semua kerusi tersebut mereka mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa memerlukan sokongan parti lain.
Katanya, jika BN kekal dengan pendirian itu, adalah lebih baik mereka berunding dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) berbanding PH dan Amanah yang mempunyai prinsip dalam mengadakan kerjasama politik.-UTUSAN.
The post BN jangan bersikap ‘abang besar’ jika mahu berunding appeared first on Utusan Malaysia.






