
PADANG TERAP: Pertemuan antara UMNO Kedah dengan kepimpinan Pas negeri bagi membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuan permulaan itu diyakini menjadi langkah pertama sebelum sebarang perbincangan susulan diadakan mengenai perkara lain.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terlebih dahulu sebelum rundingan lebih terperinci dibuat bersama kepimpinan Pas Kedah yang diketuai Datuk Ahmad Yahaya.
“Kita tengok macam mana, mungkin kita jumpa Menteri Besar dulu. Kemudian mungkin Pesuruhjaya Pas (Ahmad). Kita runding kerjasama. Banyak fokusnya, kita akan ikut secara berperingkat tapi mula dengan jumpa dulu,” katanya selepas Program Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Padang Terap, di sini, hari ini.
Menurutnya, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerima undangan Pas untuk menghadiri muktamar ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, pada September depan turut menunjukkan perkembangan positif hubungan kedua-dua parti.
Tambah beliau, MKT UMNO juga bersetuju menjemput kepimpinan Pas ke perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 12 September depan.
“Jadi bila kita terima undangan untuk ke muktamar, kita juga dalam MKT bersetuju untuk menjemput kepimpinan Pas ke perasmian PAU pada 11 September.
“Jadi saya ingat yang itu menunjukkan bahawa ada hubungan antara kepimpinan UMNO dan Pas dari segi kerjasama,” katanya.
Mengulas sama ada hubungan UMNO dan PAS di Kedah kini ibarat ‘cinta mula berputik’, Mahdzir berkata, pihaknya menyahut perkembangan yang dibawa kepimpinan UMNO di peringkat pusat.
“Saya ingat kita menyahut kepimpinan di dalam UMNO. Contoh (kerjasama) di Negeri Sembilan, jadi apa salahnya? Kalau dah ada berlaku,” katanya. – UTUSAN
The post UMNO-Pas Kedah akan bertemu teliti kerjasama PRU16 appeared first on Utusan Malaysia.






