UMNO, PH sepakat kekal kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan

LocalPolitics
5 May 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO, PH sepakat kekal kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan
Mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Anwar dan Ahmad Zahid pada Selasa. Foto Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Image from: UMNO, PH sepakat kekal kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan
Kenyataan bersama dikeluarkan PH, UMNO pada Selasa

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, majlis perundingan tersebut menghormati pendirian diputuskan oleh Biro Politik kedua-dua pihak berhubung isu di Negeri Sembilan.

"Majlis Perundingan Pimpinan UMNO dan PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat," ujar kenyataan itu pada Selasa.

**media[3511596]**

Selain itu, kepimpinan tertinggi kedua-dua blok politik tersebut turut bersetuju agar sebarang keputusan kerajaan Negeri Sembilan berpotensi menyentuh sensitiviti atau menimbulkan perselisihan faham perlu dirujuk segera kepada Majlis Perundingan Pimpinan.

"Langkah berkenaan diambil bagi memastikan keharmonian pentadbiran terus terpelihara dan mengelakkan sebarang ruang konflik yang boleh menjejaskan kerjasama erat antara UMNO dan PH di peringkat negeri," tambah kenyataan.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan berlangsung bertujuan menyelaraskan hala tuju politik antara kedua-dua pihak dalam mendepani isu-isu semasa di bawah payung Kerajaan Perpaduan.