‘Umno Sabah harus sedar’

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 1:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pemimpin Umno Sabah sepatutnya berpuas hati dengan tawaran kerusi yang diberikan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana tempoh dominasi politik mereka sudah berakhir sejak Pilihan Raya Umum 2018.

“Dominasi Umno, termasuk di Sabah, sudah ditolak oleh rakyat pada tahun itu,” kata Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo.

“Tetapi nampaknya pemimpin Umno Sabah masih terbuai dengan kegemilangan dan pengaruh politik mereka  yang lalu. Pemimpin seperti Bung Moktar, Suhaimi Nasir dan Salleh Said Keruak masih menuntut penghormatan sedangkan landskap politik sudah berubah sejak 2018. Rakyat sudah bergerak ke depan, cuma pemimpin ini yang masih ketinggalan,” katanya.

Menurutnya, Bung pernah dilantik Timbalan Ketua Menteri (I) merangkap Menteri Kerja Raya, Suhaimi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik dan Salleh sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah hasil budi baik Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ramai juga Adun Umno diberikan jawatan Pembantu Menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Malah orang Bung dan Salleh yang bukan wakil rakyat juga diberi jawatan dalam GLC, manakala pemimpin akar umbi Umno dilantik sebagai ketua masyarakat. Tetapi nampaknya semua itu tidak pernah cukup. Mereka masih mahukan dominasi. Kerasukan kuasa telah membutakan mereka,” katanya.

Teo berkata, walaupun hanya menang 14 kerusi pada PRN lalu, Umno masih terus menuntut, termasuk jawatan Menteri Kerja Raya dan Menteri Kewangan.

Selepas gagal mendapat apa yang dimahukan, katanya, Umno Sabah bekerjasama dengan Warisan untuk cuba menjatuhkan pentadbiran Hajiji.

“Lima Adun Umno enggan terlibat dan kekal menyokong Hajiji. Tetapi Suhaili pula ada hati menuduh pendirian berani lima Adun ini sebagai detik hitam. Hakikatnya, perbuatan merancang menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah adalah pengkhianatan terbesar dalam politik,” katanya.

Beliau menambah, pemimpin Umno Sabah gemar mencipta naratif palsu dengan mendakwa mereka dibuli dan diperlekehkan.

“Hajiji pada suatu masa menganggap Umno Sabah komponen penting dalam pentadbirannya selepas pembentukan pada 2020. Hajiji hormat dan mahu kerjasama itu berjaya supaya rakyat Sabah mendapat manfaat, tetapi malangnya pemimpin Umno ada agenda tersendiri.

“Hajiji sudah nampak tanda bahaya itu dan sedih melihat ketamakan sesetengah pemimpin ketika rakyat menderita akibat pandemik Covid-19. Umno keluar daripada kerajaan sebenarnya rahmat tersembunyi,” katanya.

Teo berkata Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jarang menyentuh tentang Umno Sabah kerana memberi keutamaan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Hajiji tidak mahu terganggu dengan gelagat Umno. Tetapi saya percaya apabila tiba pilihan raya, Hajiji akan bersuara lebih lantang,” katanya.

Teo menyatakan rasa kesal kerana walaupun Umno kini di blok pembangkang, wakil rakyatnya lebih gemar melemparkan tohmahan terhadap pentadbiran negeri GRS-Pakatan Harapan (PH) daripada membantu dan menyuarakan masalah rakyat di kawasan masing-masing.