
KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang menteri-menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan membuktikan kemampuan parti itu menerusi pendekatan politik berasaskan prestasi, bukan sekadar persepsi.
Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika membahaskan dinamika politik yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Menurut beliau, prestasi menteri-menteri UMNO perlu diiktiraf dan diberi penghargaan kerana kelompok berkenaan telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang sepanjang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Prestasi Menteri-Menteri daripada UMNO harus disebut dan diberikan pujian. Mereka adalah kelompok Menteri yang terbaik.
“Saya berpandangan, semua Menteri-Menteri UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, berada dalam liga mereka yang tersendiri.
“Semua Menteri-Menteri UMNO ini telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dan tidak bermain wayang. Tahniah kita ucapkan!” katanya ketika sesi perbahasan usul, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Razif menegaskan UMNO Terengganu akan terus berdiri teguh di belakang keputusan pucuk pimpinan parti demi kepentingan nasional dan kelangsungan UMNO.
Katanya, sebarang penilaian strategik yang dibuat Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan dihormati serta dipatuhi oleh kepimpinan negeri.
“Apabila pucuk pimpinan membuat penilaian strategik demi kepentingan nasional dan kelangsungan parti, UMNO Terengganu akan berdiri tegak, patuh dan taat setia kepada keputusan Presiden dan MKT UMNO.
“Kami tidak akan sesekali menjadi gunting dalam lipatan, kami tidak akan menikam bahtera dari dalam,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Menteri UMNO buktikan kemampuan menerusi politik prestasi – Ahmad Razif appeared first on Kosmo Online.






