UMNO tak boleh terkubur! Ahmad Zahid tidak kejar legasi, tekad pastikan parti terus relevan

LocalPolitics
5 May 2026 • 3:37 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak mengejar sebarang legasi peribadi, sebaliknya mahu memastikan parti itu terus relevan dan tidak terkubur dalam landskap politik semasa.

Tak mahu dikenang dalam apa bentuk sekalipun

Menerusi Podcast UMNO 8 Dekad yang dihoskan Dato’ Sri Azalina Othman Said, beliau menyatakan selagi diberi kepercayaan oleh kepimpinan serta perwakilan, tanggungjawab utama adalah untuk mengembalikan kekuatan UMNO di pentas politik negara.

“Saya tidak mahu dikenang dalam apa bentuk sekalipun tetapi selagi saya diberikan kepercayaan oleh kepimpinan untuk menjadi nakhoda parti, UMNO mesti diselamatkan daripada terkubur dan mesti relevan dalam politik masa kini,” katanya.

UMNO tetap kekal bertahan

Beliau turut mengakui wujud pelbagai cubaan untuk melemahkan parti itu, namun UMNO masih mampu bertahan hasil penyatuan dalam kalangan kepimpinan serta sokongan berterusan akar umbi.

Dalam masa sama, perkembangan kemasukan ahli baharu juga dilihat memberangsangkan apabila lebih 95 peratus pemohon dalam talian terdiri daripada golongan muda.

“Apabila mereka menjadi ahli UMNO, mereka bebas untuk bertanding apa-apa jawatan, termasuk jawatan Presiden sekiranya berhasrat meremajakan parti.
“Bagi saya, proses meremajakan UMNO bukan sekadar soal umur, tetapi membabitkan perubahan minda dan cara berfikir. Saya mungkin lama, pemikiran saya sangat remaja, itu pada pandangan saya.

“Apa yang saya lakukan sebagai ‘game changer’ adalah untuk menjadikan UMNO relevan mengikut cita rasa anak muda dan proses itu kini sedang berlaku,” katanya.

Image from: UMNO tak boleh terkubur! Ahmad Zahid tidak kejar legasi, tekad pastikan parti terus relevan

UMNO tak pernah bersikap ekskusif

Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak pernah bersikap eksklusif, sebaliknya mengutamakan keseimbangan antara pengalaman pemimpin lama dan tenaga baharu.

“Pemimpin muda perlu menghormati pemimpin lama, manakala pemimpin lama mesti menyayangi pemimpin muda.
“Semua harus menerima hakikat bahawa minda perlu diubah mengikut keperluan generasi baharu, khususnya pengundi muda,” katanya.

Image from: UMNO tak boleh terkubur! Ahmad Zahid tidak kejar legasi, tekad pastikan parti terus relevan

Sumber: Facebook Umno Online