Umno tanding semua kerusi DUN Lahad Datu

LocalPolitics
20 Mar 2025 • 1:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Azmie Lim

LAHAD DATU: Umno memutuskan untuk bertanding di semua kerusi DUN di Lahad Datu tanpa mengira sebarang kemungkinan kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, parti itu yakin dapat merampas semula semua kerusi yang sebelum ini dimenangi Parti Warisan.

Beliau berkata, Silam, Segama, Kunak dan Tungku adalah bekas kubu kuat Umno dan mereka bersedia untuk merampasnya semula.

“Sejak awal, kita berpegang teguh kepada visi dan misi kita dan kita tidak akan bertolak ansur. Kita akan bertanding di semua kerusi di bawah Parlimen Lahad Datu.

“Walaupun ada kemungkinan kerjasama dengan parti lain, kami akan konsisten dalam merampas semula semua kerusi,” katanya.

Sharif Musa berkata demikian selepas majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada golongan asnaf pada Selasa, yang dihadiri Bendahari Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh menyeru orang ramai khususnya umat Islam agar mengamalkan kesederhanaan sepanjang Ramadan.

Salleh turut menggesa rakyat untuk berganding bahu menjadi ejen perpaduan dan mengelakkan salah faham atau ekstremisme.

"Kepelbagaian kita adalah rahmat, bukan kelemahan. Islam sendiri mengiktiraf kepelbagaian sebagai sebahagian daripada ciptaan Tuhan," tambahnya.

Kerusi Dun Silam dan Tungku kini diduduki oleh Warisan, sementara Adun Kunak beralih kepada Gabungan Rakyat Sabah, manakala Adun Segama kini bersama Umno selepas meninggalkan Warisan.