KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu mengemukakan cadangan nama hingga 70 peratus muka baharu sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk memperkukuhkan kembali parti dan merampas semula sokongan rakyat di negeri berkenaan.
Menurut beliau, setiap bahagian telah diminta mengemukakan sekurang-kurangnya tiga hingga empat nama calon yang berpotensi untuk dinilai di peringkat negeri dan pusat.
"Kita memang sudah kenal pasti calon-calon yang berpotensi, termasuk muka baharu, tetapi belum ada kata putus lagi kerana proses penilaian masih berjalan.
"Muka baharu memang ramai dicadangkan, dalam 60 hingga 70 peratus namun keputusan akhir akan dibuat berdasarkan kesesuaian, penerimaan rakyat dan faktor semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Pengerusi UMNO Negeri Terengganu sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 peringkat negeri di Bangunan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin.
Mengulas mengenai kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH) serta isu calon 'payung terjun', Rozi menjelaskan perkara itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan pusat, namun kriteria calon yang dikenali dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat akan menjadi keutamaan.
"Apa juga keputusan akan ditentukan pucuk pimpinan parti dan kita di negeri akan menerima keputusan tersebut.
"Pada masa sama, kita juga bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan," ujarnya.





