UMNO Terengganu berada di titik paling kritikal, tahap paling bawah - Rozi

LocalPolitics
9 May 2026 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO Terengganu berada di titik paling kritikal, tahap paling bawah - Rozi
Rozi (dua dari kanan) merakam gambar bersama ahli yang hadir pada majlis Amanat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 peringkat negeri di Kuala Terengganu, pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu kini berada pada titik paling kritikal dan mencecah tahap paling bawah dalam sejarah penubuhannya di negeri itu selepas mengharungi fasa kekalahan yang mencabar.

​Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat menegaskan, realiti pahit itu perlu diterima oleh seluruh kepimpinan parti sebagai medan muhasabah untuk bangkit semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

​Menurutnya, amaran keras diberikan kepada kepimpinan peringkat Bahagian dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) agar tidak 'keras kepala' dan perlu akur dengan strategi yang telah digariskan.

​"Kita sudah berikan satu DUN apa yang perlu dibuat, ikut sahaja. Jangan keras kepala. Bagaimana hendak rampas dan bangkit balik jika kita masih dibayangi keputusan lepas (40-0)?

​"Tuan-tuan akan lalui perjalanan yang lebih sukar daripada yang dilalui sebelum ini," katanya menerusi Amanat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri kepada Kepimpinan Bahagian dan Pengerusi Penyelaras DUN sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 peringkat negeri di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Rozi berkata, UMNO tidak boleh lagi menafikan keberkesanan pihak lawan dalam menguasai naratif, sedangkan rakyat kini semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

​Beliau turut menggariskan empat intipati utama di bawah slogan 'Kita Melangkah Untuk Berubah' yang wajib diterjemahkan dalam bentuk tindakan segera.

​"Pertama, bawa dimensi politik baharu. Jangan sekadar cakap berapi di pentas tetapi rakyat tidak nampak hasil. Kita mesti jadi penyelesai masalah, bukan pengulas.

​"Kedua, fokus kepada isu sebenar rakyat seperti ketiadaan bantuan kebajikan kerajaan negeri, bayaran urusan tanah yang meningkat 200 peratus, serta isu parkir PBT. Kita juga perlu bangkitkan ketiadaan peluang pekerjaan untuk anak muda berbanding zaman kita (BN) dahulu yang membawa masuk pelabur," jelasnya.

​Selain itu, Rozi mengarahkan setiap DUN menguasai medan digital memandangkan lebih 80 peratus rakyat menerima maklumat melalui WhatsApp dan Facebook, selain menuntut gabungan tenaga antara pemimpin veteran dan kepakaran orang muda.

​Menyentuh persediaan pilihan raya, beliau mengingatkan bahawa kemenangan tidak ditentukan dalam tempoh dua minggu kempen, sebaliknya bermula dari sekarang dengan memfokuskan kepada 30 peratus pengundi atas pagar.

​"BN mempunyai sekitar 33 peratus penyokong tegar, manakala Pas 35 peratus. Penentu kemenangan adalah 30 peratus pengundi atas pagar yang terdiri daripada wanita dan anak muda.

​"UMNO tidak mati, UMNO hanya diuji. Jangan tunggu rakyat datang kepada kita, sebaliknya kita yang mesti pergi kepada rakyat.

"Jangan hanya bercakap tentang perubahan... kita mesti jadi ejen perubahan. Pilihanraya bukan tentang siapa paling kuat bercakap, tetapi siapa paling kuat bekerja," tegas beliau.

Majlis Amanat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin.