UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti politik

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 9:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti politik

KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas mahupun DAP bagi menjamin kelangsungan politiknya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu berdikari dengan membangunkan kekuatan menerusi cara dan strategi sendiri.

Beliau berkata, kebergantungan kepada pihak lain mungkin membantu UMNO mencapai matlamat jangka pendek, namun boleh mendatangkan kemudaratan dalam tempoh panjang.

Katanya, pendekatan tersebut merupakan formula politik yang tempang, sedangkan UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang perlu dipertahankan.

“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain atau kekuatan mereka. Selagi bergantung kepada parti lain, UMNO masih jauh daripada mencapai pemulihan.

“Kita tiada talian hayat lain kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri. UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.

“UMNO perlu mengembalikan kekuatannya sendiri supaya akhirnya kita tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri
UMNO, di sini hari ini.

Mohamad berkata, UMNO berada dalam ‘mod bertahan hidup’ sejak lapan tahun lalu dan keadaan itu mendorong parti meneroka pelbagai kemungkinan serta menilai setiap ancaman demi masa depannya.

Katanya, langkah yang diambil sejak 2018 menyebabkan pendirian UMNO dianggap sesetengah pihak sebagai satu ‘enigma politik’ kerana arah koalisi, strategi parti dan pendekatan kepimpinannya sukar difahami.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan bahawa UMNO menikam atau mengkhianati mana-mana pihak.

“Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik untuk terus bertahan dan berfungsi sebagai sebuah parti serta perjuangan.

“Kita tidak membenci atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO ini bangun semula,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO tetap meneruskan kerjasama dengan pihak yang pernah menjadi seteru politiknya meskipun berdepan pelbagai tohmahan, tuduhan dan kecaman.

Katanya, keputusan tersebut dibuat kerana mempunyai peranan dalam kerajaan lebih strategik berbanding hanya menjadi pembangkang.

“Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sejak November 2022 turut menjadi pelengkap penting kepada kestabilan negara.

“Angkubah penting untuk politik yang stabil di Malaysia mestilah melibatkan UMNO,” katanya.-UTUSAN

The post UMNO tidak boleh bergantung kepada mana-mana parti politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved