'Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, Insya-ALLAH'- Mohamad Hasan

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 11:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, Insya-ALLAH'- Mohamad Hasan
Mohamad Hasan - Foto: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – UMNO sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama, asalkan kerjasama tersebut dilaksanakan secara ikhlas serta berasaskan kepentingan strategik politik Melayu dan Islam.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha penyatuan Melayu merentasi parti politik dan perbezaan ideologi.

“Percayalah, jika sesiapa sahaja datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan hati yang terbuka.

“Namun, kerjasama itu mestilah mempunyai kejelasan dan dianjurkan dengan niat yang ikhlas serta bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu-Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO 2026 di sini pada Rabu.

Menurut Mohamad, kerjasama politik yang ingin dibentuk tidak boleh bersifat bermusim atau hanya muncul ketika keadaan tertentu yang memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Bukan berjeda, terputus-putus atau bermusim. Dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO,” katanya.

Mohamad berkata, pengalaman lalu mengajar UMNO supaya lebih berhati-hati dalam sebarang usaha berkaitan perpaduan politik Melayu-Islam.

Menurut beliau, parti itu pernah melalui pengalaman pahit dalam beberapa siri kerjasama politik sebelum ini dan tidak mahu kesilapan yang sama berulang.

“UMNO pernah dipermainkan dalam politik perpaduan Melayu-Islam dan perkara itu tidak akan kami lupakan.

“Kerana itulah UMNO amat berhati-hati. UMNO tidak mahu pengalaman buruk itu berulang lagi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendirian UMNO dalam soal kerjasama politik adalah jelas dan konsisten.

“Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, Insya-ALLAH,” katanya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai isyarat bahawa UMNO tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan mana-mana pihak pada masa hadapan, namun meletakkan syarat bahawa hubungan tersebut perlu dibina atas dasar keikhlasan, kejelasan matlamat dan kepentingan bersama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved