amree16/11/2026 - 13:00 Warga UMS bersama-sama 40 pelajar MRSM Sandakan serta dua guru pengiring dalam sesi lawatan ke ladang ternakan. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Pendedahan kepada teknologi hidroponik, pembuatan baja kompos dan pembinaan kebun mini menggunakan bahan kitar semula menjadi antara pendekatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memupuk minat generasi muda terhadap sektor pertanian lestari.
Inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program UMS-SPRINT: SDG-ESG PLANTASIA @ FPL dengan mendapat kerjasama daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), yang julung kali diadakan di Fakulti Pertanian Lestari (FPL), UMS kampus Sandakan.
Program berkenaan melibatkan mahasiswa Kursus EK00102 INTERIM Seksyen 501, Semester 1, Sesi Akademik 2026/2027, sebagai kesinambungan kepada penganjuran PLANTASIA yang dilaksanakan secara bersiri sebelum ini.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPL, Profesor Madya Ts Dr Rovina Kobun berkata, pertanian bukan sekadar menjadi sumber makanan, malah merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian kehidupan.
"PLANTASIA @ FPL berperanan sebagai platform pendidikan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Antara aktiviti sepanjang program berkenaan termasuk pembuatan baja kompos, pembinaan kebun mini dengan menggunakan bahan kitar semula, pengenalan teknologi hidroponik serta lawatan sekitar FPL, termasuk ke ladang ternakan.

Peserta turut mengikuti ceramah dan demonstrasi hidroponik oleh Dr Borhan Abdul Haya @ Yahya bagi memberi pendedahan mengenai kaedah penanaman tanpa tanah serta penggunaan teknologi dalam pembangunan sektor pertanian moden.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS di bawah pimpinan Profesor Madya Dr Jurry Foo, khususnya dalam memperkasa pendidikan kokurikulum berkredit, pembangunan kepimpinan mahasiswa dan penglibatan komuniti.
Pensyarah kanan merangkap jurulatih kursus INTERIM Seksyen 501, Dr Mohd Juhar Harun berkata, program itu memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran melalui perancangan serta pelaksanaan aktiviti bersama komuniti.
"Langkah pembelajaran di luar bilik kuliah turut membantu pelajar meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa, termasuk komunikasi, kepimpinan, pengurusan organisasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan," jelas beliau.
Selain persekitaran pembelajaran universiti, program itu turut membuka ruang kepada pelajar MRSM mengenali bidang pertanian, teknologi makanan dan pengurusan sumber semula jadi sebagai pilihan pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan. - DagangNews.com



