johardy12/11/2026 - 17:57 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com GUANGZHOU 12 Nov - Sabah sedang meneroka peluang untuk mengadaptasi teknologi pertanian moden dan strategi pembangunan industri China bagi memperkukuh sektor pertanian, perikanan dan makanan negeri itu, susulan lawatan delegasi perniagaan Malaysia ke Guangzhou.
Delegasi Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah melawat Greater Bay Area Urban Agricultural Park selepas mengunjungi Nansha Fisheries Industrial Park bagi meneliti potensi kerjasama dan pelaburan dalam teknologi pertanian, bioteknologi serta pengeluaran makanan.
Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau berkata, pendekatan China terhadap pembangunan pertanian menawarkan pengajaran berharga dalam perancangan industri, penyepaduan sumber dan usaha mengenal pasti sumber keuntungan baharu.
Beliau berkata, China membangunkan ekosistem pertanian yang sistematik dengan mengintegrasikan ekonomi makanan, ekonomi marin dan sumber pertanian lain ke dalam strategi pembangunan industri yang lebih menyeluruh.
"Saya menghargai pendekatan China terhadap pembangunan industri, khususnya bagaimana negara itu membahagikan dan mengintegrasikan ekonomi makanan, ekonomi marin serta pelbagai sumber untuk mengenal pasti bidang yang berpotensi menjana keuntungan," katanya.
Dexter berkata, Sabah boleh memanfaatkan strategi sama dengan tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran pertanian, sebaliknya turut memberi perhatian kepada permintaan pasaran, kedudukan produk, aplikasi komersial dan pemasaran, khususnya mengambil kira kekayaan sumber pertanian, perikanan dan makanan negeri itu.

Sabah pertimbang inisiatif pertanian komuniti
Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kerajaan negeri sedang meneliti model pertanian komuniti China sebagai sebahagian usaha memperluas inisiatif Kebun Dapur.
Beliau berkata, perbincangan telah diadakan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengenai kemungkinan menukar tanah terbiar milik pihak berkuasa tempatan itu kepada kawasan pertanian komuniti, khususnya untuk penduduk kondominium dan pangsapuri yang tidak mempunyai tanah persendirian.
Inisiatif itu akan diteroka secara bersama oleh agensi berkaitan pertanian dan industri makanan serta DBKK, manakala kementerian turut menggalakkan pembangunan kebun dapur di kawasan premis jabatan dan agensi di bawah seliaannya.
Jamawi berkata, delegasi berkenaan amat tertarik dengan aplikasi bioteknologi dan penyelidikan pertanian China dalam meningkatkan nilai komersial produk pertanian dan penternakan, termasuk produk ketam bernilai tinggi serta teknologi penternakan ayam yang dipamerkan di taman berkenaan.
Beliau berkata, Sabah boleh memanfaatkan inovasi teknologi seumpama itu untuk meningkatkan produktiviti pertanian, menambah nilai produk dan menjana pendapatan lebih tinggi kepada petani serta penternak.
Jamawi berkata, Sabah turut mempunyai usahawan muda dengan sumber kewangan dan keupayaan pelaburan untuk menyertai pembangunan pertanian, manakala kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan dengan pelabur swasta mampu mempercepat pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan negeri itu. - DagangNews.com





