Sultan Sallehuddin Perkenan Pembinaan Muzium Kedah Tua Oleh UUM, Angkat Kegemilangan Tamadun Awal Kedah

16 Nov 2026 • 3:59 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sultan Sallehuddin Perkenan Pembinaan Muzium Kedah Tua Oleh UUM, Angkat Kegemilangan Tamadun Awal Kedah

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan cadangan pembinaan Muzium Kedah Tua oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengumpul artifak dan maklumat lengkap berkaitan kemajuan tamadun lama itu.

Pembinaan Muzium Kedah Tua bakal direalisasikan dalam usaha memelihara serta mengangkat warisan sejarah dan kegemilangan tamadun negeri ini untuk tatapan generasi muda.

UUM Perlukan Peruntukan RM15 Juta Untuk Merealisasikan Pembangunan Muzim Kedah Tua

Baginda bertitah muzium yang memerlukan peruntukan RM15 juta itu diharap dapat menggambarkan kegemilangan tamadun Kedah Tua sekaligus menjadi platform pendidikan dan rujukan sejarah kepada generasi muda.

“Beta dimaklumkan, universiti memerlukan sebanyak RM15 juta untuk membina muzium lengkap termasuk bangunan baru, ruang pameran awam, ruang pameran digital, makmal konservasi, stor artifak penyelidikan dan pengurusan.

“Beta berharap kerajaan turut menjadikan projek ini sebagai produk pelancongan, dan ada dermawan yang sudi menghulurkan dana untuk tujuan ini,” titah baginda, dipetik hantaran Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian semasa Majlis Konvokesyen Ke-39 Universiti Utara Malaysia (UUM) Sesi Pertama, semalam (15 November).

Muzium Kedah Tua Angkat Warisan & Papar Tamadun Sungai Batu

Titah baginda lagi, muzium itu akan memaparkan sejarah pemerintahan, topografi dan sinopsis Kedah Tua, termasuk Tamadun Sungai Batu selain menempatkan pelbagai artifak bersejarah seperti pedang, bijih besi, relau besi serta koleksi mata wang.

“Beta berharap UUM terus komited dalam memelihara dan mengangkat khazanah sejarah, serta warisan Kedah sebagai satu amanah bernilai tinggi.

“Khazanah ini bukan sahaja mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri, malah menjadi sumber ilmu yang dapat membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Ini penting untuk memahami akar sejarah dan menghargai legasi yang telah diwariskan oleh nenek moyang kita,” titah baginda.

Dalam masa sama, Sultan Kedah turut mengajak rakyat Kedah supaya menghayati kegemilangan Kedah pada masa terdahulu.

Kedah Pernah Muncul Sebagai Kerajaan Makmur Berasaskan Perdagangan Serta Industri Besi

Titah baginda, Kedah mempunyai sejarah yang jauh lebih tua daripada institusi yang dibina pada hari ini, malah pernah muncul sebagai sebuah kerajaan makmur berasaskan perdagangan serta industri besi sejak awal pembentukan tamadun.

Kegiatan peleburan besi yang berkembang di kawasan Sungai Batu dan Lembah Bujang bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat tempatan, malah menarik pedagang dari pelbagai wilayah sehingga menjadikan Kedah antara pusat ekonomi utama di Asia Tenggara.

“Berabad-abad lamanya, manusia datang ke bumi Kedah membawa barang dagangan, kepercayaan, bahasa, pemikiran dan budaya.

“Pertemuan manusia melahirkan pertukaran ilmu, pertukaran ilmu melahirkan kemajuan dan kemajuan akhirnya membentuk tamadun,” titah baginda.

Sebagai info, Kedah Tua turut dikenali sebagai Kadaram atau Kalagam oleh pedagang India manakala pedagang Timur Tengah menggelarnya sebagai Qalha.

Pedagang dari China pula mengenali Kedah Tua sebagai Chieh-Cha.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved