UMS, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah teroka nilai komersial sisa pepejal ke sektor industri

LocalEnvironment
27 Oct 2026 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMS, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah teroka nilai komersial sisa pepejal ke sektor industri Image from: UMS, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah teroka nilai komersial sisa pepejal ke sektor industri liza27/10/2026 - 09:31 Antara inovasi yang dipertandingkan dalam BSWMIC 2026 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt – Universiti Malaysia Sabah (UMS) bekerjasama dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) untuk membangunkan inovasi pengurusan sisa pepejal yang boleh diuji dan dimanfaatkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta industri.

 

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Pertandingan Cabaran Inovasi Pengurusan Sisa Pepejal Borneo (BSWMIC) 2026 yang bertujuan mencari penyelesaian praktikal terhadap cabaran pengurusan sisa pepejal di Sabah.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin, berkata universiti itu boleh membantu dari segi pengesahan teknologi, pengujian prestasi, pembangunan prototaip dan kajian kebolehlaksanaan bagi inovasi yang dihasilkan.

 

“KKTP dan PBT pula boleh membantu mengenal pasti masalah sebenar di lapangan serta lokasi yang sesuai untuk menguji teknologi berkenaan.

 

“Pendekatan itu membolehkan idea yang dihasilkan melalui pertandingan berkenaan dinilai dari segi kebolehgunaan sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan oleh PBT atau industri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sisa buangan sebagai sumber ekonomi

Pengerusi Penganjur BSWMIC 2026, Prof. Dr. Jidon @ Adrian Janaun berkata pertandingan itu diperkenalkan di bawah Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 untuk menggalakkan penghasilan idea, teknologi dan inovasi bagi menangani masalah sisa pepejal di Sabah.

 

Beliau berkata tumpuan pertandingan bukan sekadar menghasilkan idea baharu, tetapi mencari penyelesaian yang boleh membantu menangani masalah pengurusan sisa pepejal.

 

t

 

Antara pendekatan yang diketengahkan ialah memanfaatkan bahan buangan sebagai sumber yang boleh diproses menjadi produk baharu, sekali gus membuka ruang kepada penciptaan nilai ekonomi melalui inovasi.

 

Bagaimanapun, keberkesanan pendekatan itu bergantung pada keupayaan inovasi yang dihasilkan untuk melepasi pengujian dan dibangunkan bagi kegunaan sebenar.

 

KKTP salur RM21,410 untuk pertandingan

Sementara itu, wakil KKTP, Mariati Mastor, berkata pengurusan sisa pepejal memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi pengurangan sisa di punca, pengasingan bahan buangan, penggunaan semula, kitar semula dan pemulihan sumber.

 

Beliau berkata KKTP menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM21,410 bagi menjayakan BSWMIC 2026, dengan sokongan PBT dalam penyelarasan dan pelaksanaan pertandingan di lima zon.

 

Kerjasama antara universiti, kerajaan tempatan, industri dan komuniti penting bagi membolehkan inovasi yang dihasilkan diuji melalui pelaksanaan di lapangan serta projek perintis.

 

Dalam perkembangan berasingan, UMS turut memeterai Surat Niat (LOI) antara Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dengan Sabah Plumber Association (SPA) bagi memperluas kerjasama dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi, pengkomersialan serta pemindahan ilmu dan teknologi.

 

Kerjasama itu membuka ruang kepada hubungan lebih erat antara universiti dan industri, termasuk dalam pembangunan penyelidikan serta inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh sektor berkaitan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved