Obor AUG 2026 nyalakan semangat kontinjen negara

20 Aug 2026 • 8:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Obor AUG 2026 nyalakan semangat kontinjen negara

PUTRAJAYA – Semangat kontinjen negara menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 mula dinyalakan menerusi Larian Obor AUG 2026 yang membuka perjalanan rasminya dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.

Majlis simbolik penyerahan obor itu berlangsung bersempena Perhimpunan Bulanan KPT di Dewan Za’ba dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyampaikan amanat kepada atlet negara yang bakal membawa cabaran Malaysia pada temasya tersebut.

Beliau menyeru setiap atlet supaya membawa semangat kemenangan serta menggalas tanggungjawab sebagai wakil negara ketika bersaing dengan atlet universiti terbaik rantau ASEAN.

“Bawalah obor Malaysia dan obor kemenangan itu kerana saudara juga membawa obor negara kita, Malaysia,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Zambry menyerahkan obor AUG 2026 kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Ismail yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Larian itu turut disertai empat atlet kebangsaan iaitu atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar; lontar peluru, Nani Sahirah Maryata; karate, Thevendran Kaliana Sundram dan taekwondo, Lee Hui Yee sebelum obor dibawa dari pekarangan KPT menuju ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan kembali semula ke KPT.

Obor berkenaan akan meneruskan jelajah ke beberapa institusi pendidikan tinggi terpilih iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai sebahagian daripada kemeriahan menjelang temasya.

AUG 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Disember depan bakal menghimpunkan kira-kira 4,669 peserta termasuk 2,849 atlet dan pegawai daripada 11 negara dengan 19 jenis sukan dipertandingkan dalam dua fasa di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi.

Temasya itu akan dirasmikan pada 12 Disember di Stadium UiTM, Shah Alam sebelum majlis penutup berlangsung pada 19 Disember di Dewan Tunku Canselor, UM. KOSMO! ONLINE

The post Obor AUG 2026 nyalakan semangat kontinjen negara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved