amree24/09/2026 - 16:40 Spesies Lepidodactylus crockerensis. - Foto kredit UMS Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Penemuan spesies cicak baharu di Gunung Alab, Banjaran Crocker, Sabah, menunjukkan masih banyak khazanah biodiversiti Borneo yang belum dikenal pasti walaupun kawasan berkenaan antara landskap pergunungan diketahui umum dan sudah lama dikaji.
Spesies itu ditemukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan dinamakan Lepidodactylus crockerensis atau Crocker Range Mourning Gecko, selepas penyelidikan genetik dan morfologi mengesahkan ia merupakan spesies yang sebelum ini tidak diketahui dunia sains.
Penemuan itu diketuai Pensyarah Madya Dr Evan S.H. Quah dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), UMS, bersama Aderina Dukit dari Monash University Malaysia, Fred YY Tuh dari Sabah Parks dan L Lee Grismer dari La Sierra University.
"Kajian berkenaan diterbitkan pada 22 September 2026 dalam jurnal taksonomi antarabangsa, Zootaxa," kata institusi pendidikan tinggi awam berkenaan menerusi kenyataan.
Spesimen holotaip, iaitu spesimen utama yang menjadi asas pengiktirafan rasmi spesies baharu itu, dikumpulkan Dr Evan di Rhododendron Hut lama pada 23 Ogos 2025 pada ketinggian 1,909 meter dari aras laut. Dua lagi spesimen jantan turut membentuk siri jenis bagi spesies tersebut.
Cicak berkenaan ditemui pada waktu malam dalam keadaan berkabus dengan suhu sekitar 14 hingga 16 darjah Celsius, termasuk di dinding dan bahagian cucur atap bangunan berhampiran. Ia dipercayai memakan serangga yang tertarik kepada cahaya lampu.
Menariknya, cicak dari Gunung Alab itu pada awalnya sukar dibezakan daripada Lepidodactylus ranauensis, spesies endemik Borneo yang dikaitkan dengan Gunung Kinabalu. Namun, analisis genetik mendapati populasi Gunung Alab membentuk satu garis keturunan evolusi tersendiri, selain menunjukkan perbezaan ketara dari segi morfologi dan ciri sisik.

"Kedua-dua spesies itu turut dipisahkan oleh kira-kira 36 kilometer kawasan tanah rendah yang tidak sesuai sebagai habitat, sekali gus mengukuhkan bukti bahawa cicak Gunung Alab merupakan spesies tersendiri," jelas UMS lagi.
Penemuan L. crockerensis juga menjadikannya spesies ketiga daripada genus Lepidodactylus yang direkodkan di Borneo, sekali gus menambah pengetahuan mengenai bagaimana persekitaran pergunungan yang terasing di pulau itu membentuk garis keturunan unik serta menjadikan Banjaran Crocker lokasi penting bagi kajian herpetologi dan endemisme pergunungan.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penemuan itu bukan sekadar penemuan spesies baharu, sebaliknya membuktikan Sabah mempunyai peranan penting dalam menghasilkan pengetahuan saintifik berkaitan biodiversiti Borneo.
Katanya, penemuan berkenaan turut menggariskan keperluan pelaburan berterusan dalam sains biodiversiti, termasuk penyelidikan lapangan, taksonomi, makmal molekul dan koleksi saintifik.
Pengarah ITBC, Prof Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim pula berkata, Sabah bukan sahaja kaya dengan biodiversiti yang telah diketahui, malah mempunyai banyak spesies yang masih belum ditemui dan didokumentasikan.
"Usaha mengenal pasti spesies baharu penting kerana pemuliharaan tidak dapat dilakukan terhadap sesuatu yang belum diketahui kewujudannya," jelas beliau.
Buat masa ini, L. crockerensis hanya diketahui secara saintifik dari sekitar sub-stesen Gunung Alab di Taman Crocker dan penyelidik mencadangkan status Data Deficient (DD) kerana maklumat mengenai taburan, saiz populasi dan ekologinya masih terhad.
Spesimen yang digunakan untuk menerangkan spesies baharu itu pula disimpan dalam Koleksi Zoologi BORNEENSIS di ITBC, UMS, manakala pendua akan dikongsi dengan Sabah Parks bagi menyokong penyelidikan biodiversiti dan pemuliharaan pada masa hadapan. - DagangNews.com





