ALOR GAJAH – [DIKEMAS KINI] Sebuah tong yang dipercayai mengandungi rangka manusia ditemukan tiga pemancing di kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal Machap Baru di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, maklumat diterima sekitar jam 11.40 pagi daripada tiga pemancing berkenaan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.
Menurutnya, siasatan awam diterima mendapati kesemua mereka menemui sebuah tong di tepi empangan sebelum cuba memeriksa kandungannya dengan memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan.
**media[3646100]**
“Selepas memotong sedikit bahagian atas tong, mereka mendapati terdapat kesan seperti rangka tulang sebelum membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
“Polis tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari dan menjalankan pemeriksaan bersama pasukan forensik,” katanya ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.
Katanya, tong itu berada kira-kira 15 meter dari jalan sebelum pihak polis meminta bantuan bomba untuk mengangkatnya ke jalan bagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
**media[3646101]**
“Dipercayai rangka berkenaan sudah berada di dalam tong sekurang-kurangnya tiga minggu berdasarkan keadaan tulang dan tisu yang masih melekat.
“Identiti mangsa serta jantina belum dikenal pasti dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Beliau menyeru mereka yang kehilangan ahli keluarga supaya membuat laporan polis bagi membantu pihaknya menentukan identiti sebenar mangsa.
Pada masa sama, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran.





