liza08/05/2026 - 18:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Mei – UMW Toyota Motor memperkenalkan Toyota Yaris Cross secara rasmi di Malaysia sebagai penawaran baharu dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil atau B-SUV, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap kenderaan praktikal dan serba guna di pasaran tempatan.
Segmen B-SUV dilihat terus mencatat pertumbuhan kukuh di Malaysia apabila pengguna semakin cenderung memilih kenderaan yang menawarkan keseimbangan antara kegunaan harian, keselesaan pemanduan serta ciri keselamatan moden.
Toyota Yaris Cross ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan varian kenderaan elektrik hibrid (HEV) dengan harga bermula RM99,900 bagi ICE dan RM109,900 bagi HEV.
Varian ICE menggunakan enjin 2NR-VE yang dipadankan dengan transmisi CVT, menawarkan pemanduan yang lancar, penjimatan bahan api yang baik serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah untuk kegunaan harian.
Sementara itu, varian HEV dilengkapi sistem Toyota Hybrid Electric yang menggabungkan enjin 2NR-VEX dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 111 PS serta membolehkan pemanduan dalam mod elektrik pada kelajuan rendah untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasan emisi.
UMW Toyota Motor berkata pelancaran ini mencerminkan pendekatan ‘multi-pathway’ dalam menawarkan pilihan mobiliti kepada pelanggan berdasarkan keperluan pemanduan, infrastruktur dan gaya hidup masing-masing.
“Dari segi reka bentuk, Yaris Cross tampil dengan gaya SUV yang lebih tegap dan moden, rim aloi 18 inci serta rekaan lampu belakang yang menumpukan lebar kenderaan bagi memberikan imej lebih stabil dan dinamik.
“Bahagian kabin pula direka dengan pendekatan moden dan praktikal, menggunakan kemasan lembut aksen satin-plated serta stereng berbalut kulit, selain tema dalaman Blue Black dengan jahitan biru yang memberikan suasana lebih premium.
“Model ini turut dilengkapi skrin paparan digital TFT 7 inci di bahagian pemandu serta sistem hiburan maklumat 10.1 inci yang menyokong sambungan telefon pintar tanpa wayar bagi memudahkan integrasi gaya hidup digital pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Dari segi praktikaliti, Yaris Cross menawarkan ruang but seluas 471 liter yang dilengkapi papan lantai dua tingkat serta ruang simpanan bawah lantai, selain kedudukan tempat duduk pemandu yang lebih tinggi bagi meningkatkan sudut pandangan ketika memandu.
Ciri kemudahan lain termasuk Panoramic View Monitor untuk bantuan parkir, pintu but berkuasa dengan fungsi kick sensor, pengecas tanpa wayar serta port USB-C di bahagian belakang untuk keselesaan penumpang.
Aspek keselamatan menjadi antara tumpuan utama model ini dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi bantuan pra-pelanggaran, amaran penukaran lorong, bantuan kekal lorong serta kawalan lampu tinggi automatik.
Selain itu, Yaris Cross turut dilengkapi Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert bagi meningkatkan kesedaran pemandu terhadap persekitaran terutama ketika menukar lorong dan mengundur.
Dari sudut pemilikan, Toyota terus mengekalkan pendekatan Quality, Durability and Reliability (QDR) dengan rangkaian lebih 100 pusat servis di seluruh negara bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman selepas jualan yang menyeluruh dan mudah diakses.
Toyota Yaris Cross akan dipasang secara tempatan di kilang Toyota Bukit Raja, Selangor, dan kini boleh ditempah di semua pengedar sah Toyota di seluruh negara.- DagangNews.com




