Undang Empat termasuk yang dipertikai tunjuk dokumen didakwa ditandatangani MB

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Empat termasuk yang dipertikai tunjuk dokumen didakwa ditandatangani MB
Maarof (tengah) bersama Muhammed (kiri) dan Abdul Rahim (kanan) menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Krisis istana di Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Dokumen tersebut dikongsi kepada pemberita dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini pada malam Selasa.

Sidang media yang bermula sekitar jam 10.45 malam itu dihadiri oleh Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.

Maarof yang membacakan kenyataan bersama mendakwa Ismail telah menandatangani dan melengkapkan surat cara proklamasi di bawah Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau memaklumkan semua Undang Yang Empat (termasuk Undang yang dipertikai) telah pun menandatangani proklamasi tersebut, berserta menurunkan cop mohor masing-masing pada 19 April 2026 bagi mengisytiharkan penurunan taktha Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam dokumen bertarikh 3 Ogos yang ditunjukkan, antaranya ditulis 'pada memenuhi kehendak syarat Perkara 10(2) UUTKNS 1959 dan bagi maksud melaksanakan peruntukan tersebut, saya selaku Menteri Besar Negeri Sembilan dengan ini menurunkan tandatangan saya seperti di bawah'.

Bagaimanapun dokumen tersebut tiada cop Menteri Besar Negeri Sembilan, tetapi hanya tandatangan.

Maarof yang mengetuai sidang media tersebut berharap dengan pemakluman berkenaan, kemelut yang berlaku dapat diselesaikan secara baik dan aman.

Sebelum ini Ismail dalam kenyataan media pada 6 September lalu menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Katanya, fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.

"Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz," katanya.

Berhubung isu yang berlaku, Ismail mengeluarkan kenyataan media kedua pada Selasa yang mana beliau menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut Ismail, beliau sentiasa menyokong Timbalan Perdana Menteri itu serta seluruh barisan kepimpinan UMNO yang sentiasa menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

“Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh The Straits Times bertarikh 8 September 2026, saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved