Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau tunai solat Jumaat bersama masyarakat

3 Jul 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau tunai solat Jumaat bersama masyarakat
Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid (dua, kiri) mengaminkan bacaan doa ketika solat Jumaat di Masjid Kampung Paya Seberang, hari ini. Foto Bernama

SEREMBAN - Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menunaikan solat Jumaat di luak kawasan masing-masing hari ini.

Ketibaan dua pembesar Negeri Sembilan yang baharu dizahirkan itu, masing-masing di Masjid Kariah Pantai dan di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau kira-kira 1 tengah hari tadi.

Muhammad Faris dizahirkan sebagai Undang Sungei Ujong ke-11 dan Hassan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 pada Sabtu lepas, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Buat kali pertama, nama pembesar Negeri Sembilan itu dibacakan dalam doa di masjid luak masing-masing, bersekali dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Terdahulu, Imam Masjid Kariah Pantai, Amru Zubair Abu Hanifah dan Imam Khairul Ashraf Mohd Kudus, masing-masing menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk "Muflis Akhirat”.

Selesai menunaikan solat Jumaat, Muhammad Faris beramah mesra dengan para jemaah sebelum menyantuni keluarga penduduk kampung tersebut yang kehilangan insan tersayang dengan menunaikan solat jenazah bersama jemaah di masjid berkenaan.

Dalam pada itu, di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau, Hassan diiringi Datuk-Datuk Lembaga Luak Rembau dan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak disambut penduduk setempat.

Seusai menunaikan solat Jumaat beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk makan tengah hari bersama kariah dan ahli jawatankuasa masjid sempena jamuan meraikan kedatangan Undang Rembau yang menunaikan solat Jumaat pertama selepas dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved