Undang Yang Empat masyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12

LocalPolitics
5 Jun 2026 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Yang Empat masyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Tunku Nazaruddin (dua dari kiri) dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat pada Jumaat.

ALOR GAJAH- Undang Yang Empat akhirnya menggunakan kuasa mereka memasyhurkan Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 pada Jumaat.

Majlis pemasyhuran tersebut bagaimanapun terpaksa diadakan di sebuah hotel di Melaka dengan kehadiran anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) iaitu Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Tuanku Besar Tampin, Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Ahli DKU lain iaitu Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid menyaksikannya secara sidang video.

Sebelum itu, berlaku sedikit kekecohan apabila pembesar adat tersebut dihalang berjumpa dengan Tunku Nadzaruddin di tingkat atas hotel.

Situasi tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati Undang Jelebu yang sekali lagi mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang menghalang mereka.

Bagaimanapun Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad akhirnya akur dan membenarkan pembesar adat berkenaan meneruskan majlis.

Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang turut hadir berkata, proses pemasyhuran tersebut berjalan lancar dengan semua pihak terlibat berpandukan skrip dan peraturan yang telah disediakan oleh pakar undang-undang serta adat.

Menurut beliau, kehadiran semua pihak termasuk penasihat undang-undang dan pengamal adat memastikan proses berkenaan mematuhi lunas Perlembagaan serta adat tradisi Negeri Sembilan.

“Semua berjalan dengan baik, polis telah menjalankan tugas sebelum ini dan akhirnya meninggalkan lokasi selepas proses berlangsung,” katanya sebelum meninggalkan lobi sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Tunku Nadzaruddin sepatutnya menghadiri satu majlis rasmi di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, di sini namun dipercayai telah dihalang polis daripada meninggalkan hotel berkenaan.

Sekitar jam 12.15 tengah hari ini, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad akhirnya dibenarkan menemui Tunku Nadzaruddin diiringi Alzafny.

Turut serta pada pertemuan itu ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Rais.

Rais yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pelantikan dan pemasyhuran itu dilaksanakan berdasarkan keputusan terdahulu 19 April lalu serta mengikut mekanisme adat yang digabungkan dengan proses perundangan semasa.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa isu undang-undang yang masih boleh diperhalusi, termasuk persoalan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didakwa tidak melibatkan semua pihak berkaitan pada ketika itu kerana Yang di-Pertuan Besar pada ketika itu dikatakan sudah tidak lagi memegang jawatan tersebut.

“Ini merupakan satu persoalan yang besar, dan saya menggesa agar semua pihak perundangan menelitinya dengan serius.

“Di bawah Perkara 28, Raja atau pemerintah termasuk Undang, tetapi Undang tidak dirujuk ketika penandatanganan dilakukan untuk membubarkan Dewan. Ini adalah perkara yang sangat serius.

“Saya dan rakan-rakan peguam sedang menelitinya dengan lebih mendalam sama ada ia boleh dijadikan satu kes untuk penelitian terhadap sistem tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, selepas pemasyhuran itu, Tunku Nadzaruddin kini bebas menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12 dengan sokongan adat serta undang-undang negeri.

Beliau pada masa sama menyeru agar semua pihak memberikan taat setia kepada baginda demi kestabilan dan keharmonian institusi diraja Negeri Sembilan.