UNESCO Iktiraf Kuala Lumpur Sebagai Bandar Kreatif

LocalDesign
3 Nov 2025 • 6:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kuala Lumpur baru-baru ini diiktiraf sebagai ahli baharu dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) bagi bidang reka bentuk atau City of Design. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengesahkan perkara ini dan pada masa yang sama menunjukkan komitmen berterusan bandar raya tersebut untuk menjadikan kreativiti, inovasi dan reka bentuk sebagai pemacu utama pembangunan Lestari.

image is not available

Pengiktirafan ini menjadi titik tolak penting buat Kuala Lumpur untuk tampil sebagai bandar yang lebih terbuka dan maju dalam dunia reka bentuk global. Ia juga seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 dan aspirasi Warisan KL.

Kejayaan ini terhasil daripada kerjasama erat antara DBKL, kerajaan, komuniti, institusi akademik dan industri reka bentuk yang bersama membangunkan ekosistem reka bentuk yang berkembang. Sebagai City of Design, Kuala Lumpur turut berhasrat untuk menarik lebih banyak pelaburan dan bakat dalam sektor reka bentuk serta ekonomi kreatif.

image is not available

Selain itu, Kuala Lumpur turut terus mengukuhkan peranannya sebagai hab kreatif serantau dengan memperbaiki dasar perancangan bandar berasaskan reka bentuk dan kesejahteraan komuniti. Pada masa yang sama, bandar ini aktif menjalin kerjasama global melalui rangkaian UNESCO Creative Cities Network.

image is not available
Pintasan Saloma

Dengan pengiktirafan ini, Kuala Lumpur kini menjadi sebahagian daripada barisan bandar UNESCO di Malaysia. Antara bandar lain turut tersenarai ialah George Town dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia, Ipoh dan Kuching sebagai bandar kreatif, Langkawi sebagai geopark global serta Banjaran Crocker sebagai rizab biosfera.