Unisem labur RM396 juta besarkan kilang di Gopeng penuhi permintaan tinggi cip AI

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unisem labur RM396 juta besarkan kilang di Gopeng penuhi permintaan tinggi cip AI Image from: Unisem labur RM396 juta besarkan kilang di Gopeng penuhi permintaan tinggi cip AI amree09/10/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt – Permintaan tinggi cip kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) mendorong Unisem (M) Berhad merancang pelaburan berjumlah RM396 juta bagi fasa kedua pengembangan kilang semikonduktornya di Gopeng, Perak.

 

Penyedia perkhidmatan pemasangan dan pengujian semikonduktor itu berkata, perluasan berkenaan bertujuan memenuhi peningkatan permintaan pelanggan, khususnya aplikasi AI, DC dan pengkomputeran yang berprestasi tinggi (HPC).

 

Projek merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran baharu dengan keluasan binaan kira-kira 40,000 meter persegi, yang dianggarkan menelan belanja RM196 juta, dan memperkukuh kapasiti dalam segmen pembungkusan cip termaju

 

"Separuh kemudahan akan disewakan kepada anak syarikat milik penuhnya, Unisem Advanced Technologies Sdn Bhd, bagi operasi 'wafer bumping, iaitu proses penting penyediaan cip bagi pembungkusan semikonduktor termaju," kata Unisem.

 

Selain kos pembinaan, kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, memperuntukkan RM200 juta bagi pembelian peralatan serta kerja-kerja penyediaan kemudahan, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan fasa kedua itu RM396 juta.

 

Tambahnya, pengembangan itu meningkatkan kapasiti pembuatan bagi perkhidmatan 'wafer bumping' dan pascapemprosesan berkaitan, sekali gus membolehkannya memenuhi keperluan pelanggan meningkat dalam rantaian bekalan semikonduktor.

 

Unisem_DagangNews2026

 

Pelaburan tambahan berkenaan ujar Unisem, akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman daripada bank, namun perkadaran bagi setiap sumber pembiayaan tersebut masih belum lagi ditentukan kumpulan itu.

 

"Dari segi kesan kewangan, projek tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan bagi tahun kewangan semasa, namun menjangkakan pengembangan berkenaan menyumbang secara positif selepas siap dan mula beroperasi," jelasnya.

 

Pengembangan itu menyusuli pembangunan awal kilang Gopeng yang pembinaannya bermula 2022. Fasa pertama pada asalnya dianggarkan menelan kos RM300 juta dan dirancang untuk menggandakan kapasiti pengeluaran operasi sedia ada di Ipoh, Perak.

 

Pada April 2026, Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Unisem, John Chia Sin Tet berkata, kumpulan melabur RM600 juta di kilang Gopeng sebagai sebahagian daripada perbelanjaan modal hampir RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun.

 

Sementara itu, CIMB Securities dalam nota penyelidikan pada September 2026 menyatakan fasa kedua berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan, khususnya melalui penambahan kapasiti 'wafer bumping' dan pembungkusan semikonduktor termaju. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved