SJ Electronics dari China labur RM286 juta bangunkan kilang bahan semikonduktor di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SJ Electronics dari China labur RM286 juta bangunkan kilang bahan semikonduktor di Pulau Pinang Image from: SJ Electronics dari China labur RM286 juta bangunkan kilang bahan semikonduktor di Pulau Pinang amree07/10/2026 - 16:30 Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) menunjukkan tapak kilang PEN SJ Electronics. - Foto Facebook Chow Kon Yew Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — SJ Electronics dari China bakal melabur lebih AS$70 juta (RM285.6 juta) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran bahan pembungkusan semikonduktor canggih dan rumusan pengurusan haba di Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3), Pulau Pinang.

 

Pelaburan yang dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, PEN SJ Electronics Sdn Bhd itu, dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus akan memperkukuh aspek ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) negeri termaju wilayah Utara semenanjung tersebut.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, usaha tersebut dibuat selepas syarikat berkenaan menandatangani perjanjian pajakan tanah perindustrian dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi usaha membangunkan kemudahan itu.

 

"Operasi fasa pertama kemudahan tersebut akan memberi tumpuan kepada pengeluaran 'thermal interface materials' (TIM) sebelum diperluaskan kepada pengeluaran 'integrated heat spreaders' pada fasa kedua pula," tambahnya di George Town, Pulau Pinang.

 

Beliau berkata, pelaburan berkenaan akan meningkatkan lagi keupayaan Pulau Pinang dalam bidang pembungkusan semikonduktor termaju dan pengurusan haba, selain mengukuhkan kedudukan negeri tersebut sebagai 'Lembah Silikon' antarabangsa.

 

Menurutnya, PEN SJ merupakan subsidiari SJ Electronics, iaitu antara hanya beberapa pengeluar di dunia dan satu-satunya syarikat di China yang mempunyai keupayaan menghasilkan secara besar-besaran TIM1 berasaskan indium berprestasi tinggi.

 

Pen SJ_DagangNews2026

 

Pengasas SJ Electronics, Dr Fay Hua berkata, syarikat itu merancang mengambil lebih 1,000 pekerja bagi operasi di Pulau Pinang, dengan sebahagian besar terdiri jurutera yang akan mengendalikan teknologi utama berkaitan bahan pembungkusan semikonduktor.

 

"Syarikat memberi tumpuan kepada teknologi dan bahan diperlukan untuk pembungkusan semikonduktor 2.5D dan 3D, susulan peningkatan pesat kecerdasan buatan (AI) yang turut meningkatkan keperluan bagi mengawal haba daripada peranti semikonduktor," katanya.

 

SJ Electronics turut merancang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan menerusi program latihan industri dan latihan siswazah bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran, khususnya jurutera untuk industri semikonduktor.

 

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merekodkan RM17.3 bilion pelaburan pembuatan diluluskan pada separuh pertama 2026, dengan pelaburan langsung asing (FDI) menjana RM12.8 bilion, manakala sektor E&E menyumbang RM11 bilion.

 

Ujarnya, negeri itu turut merekodkan RM606 bilion nilai eksport bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, selain terus memberi tumpuan menarik pelaburan strategik dan memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved