Unisoc Hasilkan Cip Sekuriti Pertama Berasaskan RISC-V

TechnologyDigital
26 Aug 2024 • 1:46 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

ARM dan X86 ialah senibina yang digunakan oleh majoriti cip pemproses di pasaran sekarang. Tetapi senibina RISC-V kini semakin mendapat perhatian industri kerana ia adalah rekaan sumber terbuka dan oleh sebab itulah ia dilihat sebagai senibina masa depan yang mengelakkan halangan teknologi dikenakan oleh negara tertentu. Unisoc minggu ini melancarkan cip E450R yang menurut mereka ialah cip sekuriti pertama berasaskan RISC-V.

image is not available

Ciri utama E450R ialah enjin algoritma PKE kriptografi asimetrik yang didakwa 50% lebih pantas berbanding cip generasi terdahulu. Walau kunci kriptografi yang lebih panjang digunakan, cip akan mengekalkan prestasi tanpa pengurangan kepantasan memproses.

Dalam kegunaan aplikasi melibatkan transaksi, cip ini juga mampu meningkatkan prestasi sehingga 50%. Kepantasan juga dicapai dengan peningkatan menulis serta membaca memori sehingga 15%. Cip juga telah disahkan melepasi piawaian National Cryptography Level 2, perisian serta cip UnionPay dan CCRC IT EAL4+.

Ini adalah satu lagi perkembangan memberangsangkan dalam penggunaan RISC-V. Setahun lalu Robert Bosch GmbH, Infineon Technologies AG, Nordic Semiconductor, NXP Semiconductors, dan Qualcomm Technologies, Inc mengumumkan syarikat baharu yang ingin memajukan penggunaan senibina RISC-V bagi memacu perkakasan generasi seterusnya. Sementara itu Google juga menyatakan hasrat menyokong cip RISC-V pada peranti Android dan Wear OS.