Quick Share atau dahulunya Nearby Share adalah jawapan terbaik Google kepada AirDrop oleh Apple. Ia bukan sahaja menyokong pemindahan dan perkongsian fail yang besar, tetapi turut menyokong penghantaran ke banyak peranti serentak, mempunyai sekuriti dan privasi serta paling penting – ia pantas. Terbaru, Nearby Share akan dikemaskini dengan sokongan drag and drop dari Android ke Windows.

Ciri perkongsian fail dengan drag and drop sudah lama ada pada peranti Samsung, Oppo, Huawei dan banyak lagi sama ada dengan Phone Link atau dengan aplikasi tersendiri. Dengan memanfaatkan Nearby Share yang kini bersifat universal untuk semua peranti Android, pengguna boleh drag and drop fail dari Android ke Windows dengan lebih mudah dan pantas menggunakan Nearby Share.
Ciri ini sudah tersedia untuk dari peranti Windows ke Android, tetapi akan datang ia akan membenarkan pengguna peranti Android dengan skrin besar seperti tablet atau peranti dengan skrin boleh-lipat untuk melakukan aksi drag and drop dari satu tetingkap aplikasi ke tetingkap Nearby Share. Pada Chrome, Google turut ada menguji ciri drag and drop dari pelayar web ke aplikasi lain – mungkin ia akan menggunakan konsep yang sama? Sama-sama kita nantikan.
