Unit IJM Corp raih projek semikonduktor, teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta

Business & Finance
26 Aug 2026 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Unit IJM Corp raih projek semikonduktor, teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta
IJM Construction meraih dua projek sektor semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta.

ANAK syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM Corp), IJM Construction Sdn Bhd meraih dua projek sektor semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta, sekali gus menyumbang kepada perolehan kontrak bagi tahun kewangan 2027.

Projek pertama bernilai RM455 juta melibatkan kerja-kerja awam, struktur dan binaan gudang sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) untuk kemudahan semikonduktor sebuah syarikat teknologi multinasional di Kulim, Kedah.

Sementara itu, projek kedua bernilai RM454.5 juta untuk membina kemudahan pembuatan peranti perubatan bagi Intuitive Surgical Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kedua-dua projek berkenaan dilaksanakan kurang daripada 18 bulan, lebih pantas daripada yang dijadualkan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corp, Datuk Lee Chun Fai berkata, kemudahan pembuatan semikonduktor dan peranti perubatan kini semakin kompleks serta memerlukan tempoh pelaksanaan yang lebih singkat, dengan pelanggan memberi penekanan lebih tinggi terhadap kepastian pelaksanaan dan keupayaan memenuhi piawaian teknikal yang ketat.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, IJM Construction mengukuhkan portfolio dalam sektor pusat data, semikonduktor serta kemudahan pembuatan elektrik dan elektronik.

"Projek Intuitive ini merupakan satu pencapaian penting bagi kami dalam sektor pembuatan peranti perubatan, sekali gus memperluas keupayaan kami ke dalam sektor bernilai tinggi yang berkaitan, di samping memanfaatkan kekuatan teras dalam bidang kejuruteraan dan pelaksanaan projek dengan pantas,” katanya.

Menurut IJM Corp, kemudahan baharu itu akan menyokong pengeluaran instrumen pembedahan dan peranti elektromekanikal Intuitive yang digunakan dalam prosedur pembedahan invasif minimum berbantukan robot, sekali gus menjadi projek pembuatan peranti perubatan kedua IJM Construction.

Bahagian pembinaan kumpulan itu kini mempunyai nilai perolehan kontrak tertunggak berjumlah RM14.51 bilion, merangkumi pelbagai projek sektor swasta dan awam dalam bidang pembinaan bangunan, kemudahan perindustrian berteknologi tinggi serta kejuruteraan awam.

Kemudahan perindustrian berteknologi tinggi kini menyumbang kira-kira 55 peratus daripada nilai perolehan kontrak tertunggak domestik IJM Construction, mencerminkan peningkatan sumbangan segmen itu kepada portfolio pembinaannya. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved