
PETALING JAYA: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. meraih untung bersih suku tahunan tertinggi dalam dua tahun kepada RM60.59 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, didorong oleh segmen kejuruteraan beratnya dengan aktiviti projek yang kukuh.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu melaporkan lonjakkan untung bersih hampir enam kali ganda daripada RM10.06 juta setahun sebelumnya, tertinggi sejak suku kedua 2024.
Bagi tempoh sama, MHB mencatatkan pertumbuhan hasil lebih dua kali ganda kepada RM986.73 juta, berbanding RM431.57 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan berkata, peningkatan hasil sebahagian besarnya didorong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat.
Selaras dengan hasil yang lebih tinggi, Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM67.4 juta, peningkatan sebanyak RM54.2 juta berbanding RM13.1 juta yang dicapai pada suku yang sama tahun lepas.
Bagi enam bulan pertama, keuntungan bersih kumpulan meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM74.89 juta, berbanding RM22.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 70.53 peratus kepada RM1.51 bilion daripada RM884.67 juta.
MHB tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk suku tersebut.
Mengulas mengenai prospek, MHB berkata, industri tenaga global kekal dinamik ketika sektor itu terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin berubah serta peralihan keutamaan pelaburan.
Katanya, segmen kejuruteraan berat akan terus mengamalkan pendekatan strategik dan selektif dalam mendapatkan buku pesanan berkualiti tinggi merangkumi sektor tenaga konvensional dan tenaga baharu, di dalam dan luar negara.
“Langkah itu bertujuan menyokong portfolio yang seimbang, di samping mengekalkan disiplin kukuh dalam pelaksanaan projek.
“Sementara itu, permintaan jangka panjang terhadap pembaikan kapal dijangka kekal berdaya tahan, disokong keperluan pendok kering kapal pengangkut cecair gas asli (LNG) berikutan kepentingan rantaian nilai LNG yang semakin meningkat.
“Usaha pemodenan limbungan juga berjalan lancar bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing, sekali gus menyokong prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan serta keupayaannya menyediakan penyelesaian bernilai tambah kepada pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN
The post Untung bersih Malaysia Marine and Heavy Engineering melonjak 6 kali ganda appeared first on Utusan Malaysia.





