IJM Construction raih dua projek semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 1:04 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IJM Construction raih dua projek semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta Image from: IJM Construction raih dua projek semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai RM909.5 juta hamden26/08/2026 - 13:04 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos - IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd meraih dua lagi projek berteknologi tinggi dalam sektor semikonduktor dan teknologi perubatan bernilai keseluruhan RM909.5 juta.

 

Projek pertama bernilai RM455 juta membabitkan kerja sivil, struktur dan seni bina bagi gudang sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) untuk kemudahan semikonduktor sebuah syarikat teknologi multinasional di Kulim, Kedah.

 

Sementara itu, projek kedua bernilai RM454.5 juta membabitkan pembinaan kemudahan pembuatan peranti perubatan untuk Intuitive Surgical Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Kilang pembuatan itu akan menyokong penghasilan instrumen pembedahan dan peranti elektromekanikal yang digunakan dalam pembedahan invasif dengan bantuan minimum robot dan merupakan penglibataan kedua IJM dalam pembuatan peralatan perubatan.

 

Kedua-dua projek itu dilaksanakan secara fast track dengan tempoh kurang daripada 18 bulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM Corporation, Datuk Lee Chun Fai berkata, kemudahan pembuatan semikonduktor dan peranti perubatan kini semakin kompleks dan memerlukan tempoh pelaksanaan yang lebih singkat.

 

Katanya, pelanggan turut memberikan penekanan lebih tinggi terhadap kepastian pelaksanaan serta keupayaan kontraktor memenuhi piawaian teknikal yang ketat.

 

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, IJM Construction telah membina portfolio kukuh merangkumi pusat data, kemudahan pembuatan semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

 

“Projek Intuitive merupakan satu pencapaian penting bagi kami dalam sektor pembuatan peranti perubatan, sekali gus meluaskan keupayaan kami ke sektor bernilai tinggi yang berkaitan, sambil memanfaatkan kekuatan teras dalam kejuruteraan dan pelaksanaan projek secara pantas,” katanya.

 

Dalam melaksanakan projek berjadual pantas, IJM Construction turut memanfaatkan kaedah pembinaan berindustri termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan fabrikasi luar tapak yang bersesuaian.

 

Menurut kumpulan itu, kaedah berkenaan membantu meningkatkan produktiviti, kualiti dan keselamatan, selain mengurangkan kerumitan di tapak serta memberikan kepastian lebih tinggi dalam memenuhi jadual projek yang ketat.

 

Bahagian Pembinaan IJM kini mempunyai buku tempahan tertunggak bernilai RM14.51 bilion, merangkumi projek sektor swasta dan awam dalam pembinaan bangunan, kemudahan industri berteknologi tinggi serta kejuruteraan awam.

 

IJM berkata, Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor semikonduktor, E&E, teknologi perubatan, infrastruktur digital dan industri bernilai tinggi lain, sekali gus menyokong permintaan berterusan terhadap pembangunan kemudahan industri berteknologi tinggi. DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved