Universiti sokong mansuh AUKU, sumbang kepakaran perundangan baharu

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 11:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Universiti sokong mansuh AUKU, sumbang kepakaran perundangan baharu

PETALING JAYA: Universiti-universiti awam negara bersedia untuk menyumbang pandangan dan kepakaran kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi merangka perundangan baharu susulan pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) semalam.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, universiti itu mengambil maklum perancangan KPT untuk membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi pendidikan tinggi negara.

Katanya, langkah dan hala tuju itu disambut baik sebagaimana yang telah digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 melalui agenda pembentukan One Higher Education Act.

Katanya, usaha itu merupakan langkah penting dalam memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara terus relevan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi serta memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti.

Tambahnya, UM bersedia memberikan kerjasama serta menyumbang pandangan dan kepakaran kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus serta pembangunan kerangka perundangan baharu tersebut.

“Sebarang pembaharuan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aspek tertentu dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.

“Lebih utama, pembaharuan ini harus menyokong matlamat yang lebih besar, iaitu melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang berilmu, matang dalam pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan universiti dan negara.

“Inilah antara asas penting dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus dihormati, diyakini dan berupaya melahirkan generasi yang disegani di peringkat nasional dan global,” katanya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU dalam langkah reformasi pendidikan tinggi bagi memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa, termasuk dari aspek kebebasan bersuara, pemikiran dan penglibatan dalam masyarakat.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, universiti itu juga bersedia menyumbang kepakaran akademik dalam proses konsultasi bagi pembentukan One Higher Education Act.

“Kami bersedia menyumbang kepakaran akademik dan perundangan dalam proses konsultasi yang inklusif dan menyeluruh.

“UKM mahu menjadi pemangkin utama dalam perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kepimpinan IPT, ahli akademik, rakan industri, serta para mahasiswa.

“Penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan kerangka perundangan yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan semasa dan mengambil kira kepelbagaian institusi dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Sufian berkata, UKM akan bertindak secara proaktif untuk memastikan transisi perundangan ini menjadi pemangkin pembinaan modal insan berasaskan ilmu, nilai, dan inovasi.

“Kerangka baharu ini akan memacu keupayaan universiti dalam menangani cabaran masa hadapan serta melonjakkan pendidikan tinggi Malaysia ke mercu kejayaan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Osman Bakar berkata, pemansuhan AUKU membuka ruang penting untuk memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi ilmu dan pembelajaran.

Ia juga memberikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk membina pemikiran yang matang dan bebas, mengembangkan kepemimpinan serta mengambil bahagian secara konstruktif dalam kehidupan universiti dan masyarakat.

“Mahasiswa wajar diberikan ruang untuk menilai dan membahaskan isu-isu semasa secara kritis, berasaskan ilmu dan kebijaksanaan, serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan masyarakat.

“Aspirasi itu amat bertepatan dengan komitmen UIAM terhadap Epistemologi Tauhid (Tawhidic Epistemology) yang menekankan kefahaman ilmu secara bersepadu berteraskan kesatuan antara kebenaran, nilai dan tanggungjawab insan.

“Ia juga selari dengan gagasan Kecemerlangan Ummah (Ummatic Excellence) yang menjadi landasan UIAM dalam melahirkan graduan yang berkeupayaan dari sudut intelektual, kukuh dari segi nilai dan akhlak serta bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat dan kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

The post Universiti sokong mansuh AUKU, sumbang kepakaran perundangan baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved