Unjuran keuntungan bersih Thong Guan bagi FY23 dikurangkan 5% sejajar dengan pendapatan lebih lemah – Kenanga Research
diyana
24/11/2023 - 10:12
KUALA LUMPUR 24 Nov - Unjuran keuntungan bersih Thong Guan Industries Bhd bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dikurangkan sebanyak 5% sejajar dengan pendapatan lebih lemah, di samping penurunan ramalan FY23 kepada 2.25 sen daripada 4.75 sen, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran berkenaan berikutan keputusan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) syarikat pembungkusan plastik itu mengecewakan disebabkan jualan yang lebih lemah daripada jangkaan.
Menurut firma itu, keuntungan bersih teras kumpulan pada 9MFY23 sebanyak RM62.7 juta meleset daripada jangkaan, dengan merangkumi hanya 69% daripada ramalan tahun penuh firma dan konsensus.
"Varians berbanding ramalan kami sebahagian besarnya disebabkan oleh ketiadaan peningkatan ketara jualan semasa tempoh akhir tahun kukuh bermusim dan kadar cukai yang lebih tinggi," katanya dalam nota penyelidikan sambil berkata tiada dividen bagi suku semasa.
Mengulas mengenai prospek, Kenanga Research berkata prospek industri pembungkusan plastik lemah pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) memandangkan ekonomi global yang semakin perlahan dalam pelbagai cabaran makroekonomi, ditambah pula dengan ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah dan Eropah Timur.
Bagaimanapun, firma itu berkata usaha Thong Guan untuk mengembangkan produk margin yang lebih tinggi seperti filem regangan nano akan membantu mengurangkan tekanan kos yang semakin meningkat.
"Kami percaya campuran produk yang dipertingkatkan dapat mengurangkan tekanan kos. Di samping itu, ia memperluaskan kehadirannya di Eropah, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, yang dipercayai masih belum diterokai oleh penggiat Malaysia pada masa ini," tambahnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.05 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 yang tidak berubah sebanyak 11 kali, pada diskaun kepada purata PER hadapan sejarah sektor sebanyak 13 kali untuk mencerminkan kecairan saham Thong Guan yang rendah.
Setakat pukul 10:08 pagi ini, saham Thong Guan kekal pada RM1.90 dengan permodalan pasaran berjumlah RM756 juta. Setakat tahun ini, saham kumpulan itu telah merosot 24.6% daripada RM2.52. - DagangNews.com

