AmInvestment naikkan unjuran pendapatan Bermaz Auto bagi FY24-25 sehingga 3% berikutan potensi peningkatan jualan Mazda CX-8

Business & Finance
10 Oct 2023 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmInvestment naikkan unjuran pendapatan Bermaz Auto bagi FY24-25 sehingga 3% berikutan potensi peningkatan jualan Mazda CX-8

diyana

10/10/2023 - 10:33

KUALA LUMPUR 10 Okt - AmInvestment Bank Research menaikkan unjuran pendapatan Bermaz Auto Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 2% hingga 3%.

Ini adalah berikutan ramalan peningkatan jualan Mazda CX-8 memandangkan kumpulan itu dijangka melancarkan aktiviti promosi, di mana AmInvestment mendedahkan bahawa model tersebut pada masa ini memberikan margin keuntungan tertinggi.

“Secara purata, pemasangan tempatan (CKD) menguasai margin yang 3 mata peratusan lebih besar daripada unit import sepenuhnya (CBU). Pada masa ini, nisbah CKD berada pada 80% dan 20% untuk CBU,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Di samping itu, AmInvestment turut menyelaraskan unjuran hasil kumpulan bagi FY24-25 lebih tinggi 1% berikutan bekalan model CBU lebih stabil kerana syarikat tersebut mengalihkan sebahagian besar import keretanya dari Jepun ke Thailand secara beransur-ansur.

“Selain itu, susut nilai yen Jepun berbanding ringgit Malaysia akan terus menyokong prospek pendapatan Bermaz Auto yang lebih baik,” tambahnya.

Memetik data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), firma penyelidikan itu berkata Mazda merekodkan jualan ketara setakat tahun ini sebanyak 13,000 unit pada Ogos, meningkat 34.1% tahun ke tahun (YoY), terutamanya didorong jualan model CX5 dan CX30.

“Pertumbuhan jualan dijangka berterusan walaupun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tamat pada Jun 2022, terutamanya disebabkan oleh tempahan tertunggak yang besar dan tempahan yang kukuh dengan purata lebih 1,300 tempahan setiap bulan pada masa ini,” katanya.

Memandangkan jualan menggalakkan, AmInvestment berkata Bermaz Auto di landasan untuk mencapai andaian jumlah jualan FY24 firma sebanyak 23,000 unit (naik 16.8% YoY), terutamanya didorong peningkatan jualan Mazda.

Walaupun prestasi jualan Kia dan Peugeot kurang baik baru-baru ini, firma itu berkata kumpulan tersebut mempunyai rancangan untuk memperkenalkan model baharu bagi meningkatkan jualan bagi kedua-dua jenama itu.

“Sementara itu, sasaran jumlah jualan FY25 kami telah dinaikkan sebanyak 3% kepada 23,500 unit. Kami telah meningkatkan anggaran jualan untuk model Mazda CX5 dan CX30, yang mana sumbangan hanya akan timbul pada suku ketiga tahun hadapan dan seterusnya.

“Spesifikasi dalam model CX5 akan dinaik tarah manakala bekalan CX30 akan bertambah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat,” tambahnya.

AmInvestment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih tinggi pada RM3.29 sesaham daripada RM3.10 sebelumnya berikutan pelarasan unjuran pendapatan. - DagangNews.com