Unjuran pendapatan Petronas Chemicals FY24-25 ditingkatkan sehingga 13% berikutan cadangan bina kilang kitar semula kimia – MIDF Research

Business & Finance
10 Oct 2023 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan Petronas Chemicals FY24-25 ditingkatkan sehingga 13% berikutan cadangan bina kilang kitar semula kimia – MIDF Research

diyana

10/10/2023 - 09:42

KUALA LUMPUR 10 Okt - MIDF Research meningkatkan unjuran pendapatan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bagi tahun kewangan 2024 hingga 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 13% dan 6%.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa perubahan tersebut adalah berikutan langkah PCG melabur dalam pembinaan kilang kitar semula kimia termaju dan terbesar Asia di Pengerang serta jangkaan prospek pasaran petrokimia yang lebih baik pada 2024 berikutan kenaikan harga minyak mentah Brent.

Oleh itu, firma itu turut menaikkan taraf saranan saham PCG kepada ‘beli’ serta harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM7.61 sesaham berbanding RM6.72 sebelumnya.

Kilang berkapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa) yang akan dibina di Pengerang, Johor itu dijangka beroperasi menjelang 2026.

“Kilang ini merupakan komponen utama inisiatif PCG dalam menyokong peralihan ke arah ekonomi kitaran dan memupuk ekosistem plastik yang mampan,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Memandangkan produk kitar semula itu digunakan sebagai bahan mentah kimia untuk pengeluaran plastik mesra alam gred makanan, MIDF Research berkata ini akan turut menyokong pengurangan kebergantungan terhadap import bahan mentah bagi proses produk petrokimia tertentu pada masa hadapan.

“Pembinaan kilang itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 dan cita-cita negara untuk mengurangkan plastik sekali guna.

“Selain itu, ia menangani peningkatan permintaan daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan mesra alam.

“Kami juga percaya ini adalah langkah yang betul dalam mengurangkan pencemaran plastik di Asia dengan meningkatkan kitar semula sisa plastik dan mengembangkan infrastruktur kitar semula di rantau ini,” katanya.

Pada pukul 9:38 pagi ini, saham PCG telah menokok 7 sen atau 1% kepada RM7.24, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM57.9 bilion. - DagangNews.com