Unjuran pendapatan Suria Capital pada FY23-25 dikurangkan 5% sehingga 12% – MIDF Research
diyana
01/12/2023 - 12:52
KUALA LUMPUR 1 Dis - MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Suria Capital Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 12%, 5% dan 5%.
Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran berkenaan selepas daya pemprosesan pelabuhan dan margin diselaraskan lebih rendah agar sejajar dengan angka bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).
Namun begitu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.70 sesaham daripada RM1.45 sebelumnya, dengan andaian kos purata wajaran modal (WACC) diturunkan sebanyak 8% daripada 9%.
"Pelarasan ini adalah berdasarkan premium risiko ekuiti yang lebih rendah, dengan mengambil kira jangkaan pemprosesan kontena yang lebih stabil susulan pelaburan langsung asing baru-baru ini.
"Risiko positif utama ialah potensi semakan semula tarif pelabuhan, yang menerima kelulusan awal pada 2020 dan sedang menunggu pelaksanaan," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagi prospek Suria Capital, MIDF Research menjangkakan peningkatan perniagaan kontena, didorong oleh pengendalian kargo kontena dari kilang yang baru beroperasi iaitu SK Nexilis milik Korea Selatan dan Kumpulan Kibing milik China sejak awal suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).
"Sementara itu, kami menjangkakan pertumbuhan jangka sederhana stabil dalam pengeluaran kargo konvensional, didorong oleh pengeluaran minyak sawit Sabah, yang telah meningkat sebanyak 7.8% tahun ke tahun dalam pada Oktober tahun ini," tambahnya.
Firma itu menambah bahawa harga stabil produk petroleum bersedia untuk mengekalkan penggunaan domestik, meningkatkan daya pengeluaran minyak pukal.
Jelasnya, kedua-dua jenis kargo pukal cecair ini bersama-sama membentuk hampir separuh daripada jumlah pengeluaran kargo di Pelabuhan Sabah.
MIDF Research berkata keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Suria Capital pada 9MFY23 sebyak RM41.8 juta adalah di bawah jangkaan dengan merangkumi anggaran firma dan konsensus masing-masing hanya pada 65% dan 67%.
Pada rehat tengah hari ini, saham Suria Capital telah susut 6 sen atau 3.4% kepada RM1.73 dengan permodalan pasaran bernilai RM598.3 juta. - DagangNews.com

