Unjuran pendapatan Capital A bagi FY23 diturunkan 105% akibat peningkatan kos bahan api, penyelenggaraan – MIDF Research
diyana
01/12/2023 - 09:29
KUALA LUMPUR 1 Disember - MIDF Research menurunkan unjuran pendapatan Capital A Berhad (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 105% selepas mengambil kira peningkatan kos bahan api serta kos penyelenggaraan dan baik pulih.
Firma penyelidikan itu turut membuat penyelarasan kecil kepada pendapatan FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 6% dan 1%.
Menurut firma itu, Capital A mencatatkan kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) teras sebanyak RM117 juta pada 3QFY23, membawa kepada jumlah teras LATAMI sebanyak RM292.5 juta untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).
"Ini meleset daripada jangkaan, melepasi anggaran kerugian setahun penuh kami sebanyak 151%, manakala anggaran konsensus menjangkakan keuntungan bersih tahun ini. Sisihan itu disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 80 sen sesaham daripada 90 sen sebelumnya, berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY24 yang diselaraskan sebanyak 8 kali.
Pemangkin utama syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu kekal pada potensi pemulihan rangkaian dan kapasiti tempat duduk yang lebih pantas daripada jangkaan ke tahap sebelum COVID.
Mengulas tentang prospek Capital A, MIDF Research berkata dengan peningkatan kapasiti tempat duduk, faktor muatan diramalkan kekal teguh pada hampir 90% apabila memasuki musim puncak pada 4QFY23.
"Pengaktifan armada penuh (pada mulanya disasarkan pada Disember 2023), menghadapi kelewatan, dan pelan yang disemak kini bertujuan untuk membawa balik 24 pesawat dari simpanan pada 1QFY24,"katanya.
Dengan memanfaatkan pengumuman pengecualian visa baru-baru ini untuk rakyat Malaysia dan Thailand, firma itu berkata kumpulan terbabit merancang untuk menyesuaikan pertumbuhan kapasitinya bagi China.
"Kapasiti tempat duduk laluan China mencapai kira-kira 60% pada 3QFY23, dan pemulihan penuh dijangka berlaku pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24)," tambahnya.
Dari segi kos bahan api, MIDF research berkata Capital A boleh mendapatkan bantuan, sebahagiannya melalui surcaj bahan api yang berterusan dan tambang penerbangan yang lebih tinggi berbanding sebelum COVID, disebabkan oleh harga yang rasional.
Setakat pukul 9:27 pagi ini, saham Capital A susut 2.5 sen atau 2.9% kepada 84.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM3.6 bilion. - DagangNews.com

