
AMSTERDAM – Jurgen Klopp hampir meraikan kemenangan dalam aksi debut selaku jurulatih Jerman sebelum ‘gigit jari’ apabila Belanda meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk mengikat perlawanan 1-1 di Johan Cruijff Arena, awal pagi semalam.
Malah, bekas pengendali Liverpool itu menerima malang berganda apabila dua tonggak utama, Kai Havertz dan Jamal Musiala terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan serius.
Mengulas mengenai perlawanan, Klopp pula mengakui anak-anak buahnya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan proses baharu yang cuba diterapkannya.
“Kami bermula dengan baik dalam tempoh 10 minit pertama. Kemudian, kami berdepan masalah selama 10 minit dan tidak dapat mencari rentak.
“Apabila sistem itu belum benar-benar menyerap dalam minda pemain, saya bukan hanya bercakap mengenai aspek taktikal tetapi proses secara keseluruhan, ketika itulah mereka perlu bekerja keras dalam misi memburu kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Klopp turut mengesahkan Havertz dan Musiala bakal menjalani pemeriksaan MRI bagi menentukan tahap kecederaan mereka.
“Kedua-duanya perlu menjalani MRI dan saya berharap kami mendapat keputusan diagnosis secepat mungkin.
“Sudah tentu ini bukan sesuatu yang bagus. Saya harap mereka tidak perlu diketepikan dan boleh kembali beraksi dalam masa yang agak singkat,” katanya.
Menurut laporan, Klopp sedia membuat perubahan menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Greece apabila memanggil Nick Woltemade atau Jonathan Burkardt sebagai pengganti. – AGENSI
The post UNL: Impian besar Klopp lebur appeared first on Kosmo Online.


