
BERLIN – Skuad kebangsaan Jerman bakal memasuki era baharu apabila jurulatih, Jurgen Klopp akan mengemudi pasukan itu buat kali pertama menjelang aksi Kumpulan A2 Liga Negara-Negara menentang Belanda di Johan Cruyff Arena awal pagi esok.
Bekas pengurus Liverpool itu dilantik secara rasmi Julai lalu dan memulakan tugasnya Ogos lepas dengan fokus utama adalah membentuk identiti baharu skuad Die Mannschaft menggunakan ‘ramuan’ tersendiri.
Klopp berkata, beliau sudah tidak sabar untuk mengharungi perlawanan pertama bersama Jerman selain mengharapkan semua peminat terus setia memberikan sokongan dalam misi mengembalikan maruah yang sudah tercalar.
“Kepada semua, mungkin ada yang sudah mengenali diri saya. Saya merupakan jurulatih pasukan bola sepak Jerman dan saya sangat gembira kerana penantian sudah hampir berakhir untuk perlawanan pertama.
“Saya tahu anda semua sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan ini dari seluruh dunia. Saya sudah tidak sabar untuk memulakan perlawanan, jadi kita semua berjumpa di stadium nanti,” katanya.
Terdahulu, Klopp kembali daripada ‘persaraan sementara’ bagi menggantikan Julian Nagelsmann yang mengambil keputusan meletakkan jawatan susulan aksi hambar Jerman pada kempen Piala Dunia 2026.
Pengaruh Klopp sudah pun dapat dilihat apabila pemain tengah Eintracht Frankfurt, Younes Ebnoutalib mengambil keputusan untuk menyarung jersi Jerman berbanding Maghribi kerana mahu berada di bawah bimbingan beliau. – AGENSI
The post UNL: Klopp tak sabar pamer sentuhan appeared first on Kosmo Online.

