
OSLO – Portugal berjaya menikmati kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian Jorge Jesus ketika menundukkan Norway 2-1 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Ullevaal awal pagi semalam.
Bagaimanapun, situasi yang lalui kapten Portugal, Cristiano Ronaldo lebih menjadi perhatian pada perlawanan tersebut apabila dia hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang 90 minit perlawanan.
Ronaldo diletakkan dalam senarai pemain simpanan pada perlawanan itu dan sempat melakukan pemanasan badan, namun akhirnya dia hanya menyaksikan keseluruhan perlawanan dari tepi padang.
Situasi itu mengimbas semula situasi yang berlaku kira-kira 18 tahun lalu apabila Ronaldo berada dalam senarai pasukan, namun tidak mendapat minit permainan ketika aksi peringkat kumpulan Euro pada 15 Jun 2008 menentang Switzerland.
Selepas perlawanan, Jesus menjelaskan bahawa pada awalnya beliau memang merancang untuk menurunkan Ronaldo bagi tempoh 30 minit terakhir, tetapi perkembangan perlawanan mengubah keputusan tersebut.
“Saya sudah pun bersetuju dengannya bahawa dia akan masuk untuk 30 minit terakhir, tetapi perlawanan itu tidak memerlukan kami membawa masuk Ronaldo,” jelas Jesus.
Jorge Jesus turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan sebarang masalah kecergasan Cristiano Ronaldo.
“Ia bukan untuk melindunginya secara fizikal kerana dia berada dalam keadaan cergas untuk bermain selama mana yang saya mahukan,” katanya.
Ketika Norway cuba mencari gol penyamaan pada penghujung perlawanan, Portugal perlu kekal tersusun menyebabkan Jesus memutuskan bahawa beliau memerlukan pemain dengan karakteristik berbeza berbanding memasukkan kaptennya. – AGENSI
The post UNL: Portugal menang, Ronaldo jadi tumpuan appeared first on Kosmo Online.

