
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencuri perhatian dengan melangkah ke ‘gelanggang’ baharu menerusi pelancaran filem dokumentari ‘UNTAMED’ yang menceritakan perjalanan luar biasa Harimau Selatan hingga meraih 35 trofi dalam tempoh 13 tahun.
Filem dokumentari ini menampilkan perspektif peribadi pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dalam membangunkan JDT sebagai sebuah kelab yang terus mencabar untuk menetapkan penanda aras baharu dalam landskap bola sepak tempatan.
Filem dokumentari berdurasi 76 minit ini menghimpunkan barisan figura penting dalam perjalanan JDT, termasuk pemain, bekas jurulatih, pengurusan tertinggi serta personaliti terkenal yang berkongsi perspektif masing-masing mengenai transformasi, kejayaan dan kontroversi yang mengiringi kebangkitan Harimau Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pelancaran UNTAMED dan JDT+ mencerminkan pendekatan kelab yang sentiasa berpandangan jauh dalam membangunkan bola sepak profesional serta memperkukuh kedudukan Harimau Selatan sebagai jenama sukan.
“Dalam bola sepak moden, kejayaan sesebuah kelab bukan hanya diukur melalui keputusan selepas 90 minit perlawanan atau jumlah trofi yang dimenangi. Apa yang membezakan kelab berprestasi tinggi ialah struktur organisasi, budaya profesional, konsistensi dan keupayaan untuk terus meningkatkan standard, musim demi musim.
“UNTAMED memberi gambaran tentang apa yang diperlukan untuk membina JDT seperti hari ini, termasuk visi, keputusan penting dan cabaran di sebalik pencapaian kelab. Menerusi JDT+, kami membawa pendekatan yang sama ke luar padang dengan membangunkan platform kandungan premium original milik kelab sendiri.
‘Ini bukan sekadar usaha untuk mendekatkan penyokong dengan Southern Tigers, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk terus mengembangkan JDT sebagai sebuah jenama sukan yang mampu bersaing dan mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menerusi pendedahan eksklusif di sebalik tabir, penonton dapat menyaksikan realiti di sebalik empayar bola sepak Johor daripada bilik persalinan dan padang latihan sehinggalah kepada tekanan, kontroversi serta perjuangan yang membentuk DNA juara Harimau Selatan.
Seiring dengan pelancaran UNTAMED, JDT turut memperkenalkan JDT+, platform penstriman eksklusif milik kelab yang menghimpunkan dokumentari, siri original dan kandungan premium lain yang menarik.
Membawa identiti ‘The Home of JDT Originals’, JDT+ menjadi hab kandungan premium rasmi yang membuka akses kepada kisah-kisah yang belum pernah didedahkan, termasuk rakaman eksklusif di sebalik tabir, perspektif pemain dan jurulatih serta perjalanan kelab di luar aksi 90 minit perlawanan.
UNTAMED menjadi kandungan sulung JDT+, sekali gus menandakan permulaan kepada pembangunan kandungan original yang mengangkat identiti dan perjalanan Harimau Selatan melalui penceritaan.
Menyusul selepas UNTAMED ialah OUTBOUND, sebuah siri dokumentari premium original yang merakam perjuangan, cabaran dan perjalanan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dari musim ke musim.
Siri ini dijadualkan menemui penonton bermula November 2026, diikuti pelbagai kandungan premium original lain sepanjang musim 2026/27.
Penonton dan peminat boleh menikmati kandungan eksklusif JDT+ menerusi laman web rasmi www.jdtplus.com dengan langganan pas bermusim berharga RM69 bagi musim 2026/27. – KOSMO! ONLINE
The post UNTAMED bongkar rahsia empayar JDT appeared first on Kosmo Online.


