Untuk sebuah Persekutuan yang wajar dan adil

LocalPolitics
28 Sep 2025 • 10:12 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PADA satu persimpangan sejarah ketika iklim politik telah berubah menjadi tegang serta dipenuhi dengan senario dan harapan baharu, adalah wajar kita diingatkan bahawa hasrat utama kebanyakan rakyat Sabah ialah penyusunan semula hubungan persekutuan-negeri kepada satu bentuk yang wajar dan adil untuk Sabah.

Apabila Malaysia lahir pada tahun 1963, ia bukanlah penggabungan yang melebihkan yang kuat dan menindas yang lemah. Ia adalah ikatan sama rata antara semua pengasas. Sabah, Sarawak dan Malaya berdiri sama tinggi sama rendah, dan Singapura turut bersama kita untuk seketika. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah sekadar dokumen seremonial. Ia adalah asas kewujudan dan perjalanan Persekutuan, jaminan bahawa Sabah dan Sarawak akan mengekalkan autonomi yang luas, melindungi tanah adat, serta berkongsi secara adil dalam kekayaan negara.

Namun apa yang berlaku dalam dekad-dekad berikutnya bukanlah penyuburan federalisme, tetapi perlahan-lahan mencekik autonomi. Pemusatan kuasa di Putrajaya mengikis janji-janji, menyedut sumber dan melunturkan kepercayaan. Hari ini, Sabah dan Sarawak kaya dengan minyak, gas, kayu balak, dan biodiversiti — namun rakyatnya tetap lebih miskin daripada kebanyakan rakyat Malaysia. Ini bukan kebetulan. Ini adalah satu pengkhianatan.

Federalisme yang cuma ilusiMari kita bercakap dengan terus terang: Malaysia tidak mengamalkan federalisme dalam erti kata sebenar. Sabah dan Sarawak dilayan seperti dua wilayah jauh milik Malaya, bukan sebagai rakan pengasas sebuah negara.

Cuba kita fikirkan ini:Hasil minyak dan gas — nadi kehidupan Sabah dan Sarawak — mengalir masuk ke Petronas dan kantung persekutuan. Anehnya, negeri-negeri ini disuruh berterima kasih atas “royalti” 5% yang begitu kecil.

Dasar pendidikan digubal di Putrajaya tanpa mengambil kira sejarah dan budaya unik Malaysia Timur. Generasi rakyat Sabah dan Sarawak membesar dengan sejarah Malaya, sementara warisan mereka sendiri diketepikan.

Hak adat peribumi terhadap tanah sering dipijak, kadangkala dengan restu persekutuan, demi kepentingan korporat yang mengorbankan masyarakat asal.

Jika inilah federalisme, maka ia hanyalah federalisme bertopeng — kuasa terpusat yang menyamar konon sebagai perkongsian.

Autonomi atau KeterasinganRakyat Sabah dan Sarawak bukanlah pengemis di meja Malaysia. Mereka adalah pengasas bersama Persekutuan. Namun hak dan sumber yang semakin terhakis telah menjauhkan mereka daripada negara yang mereka turut bina bersama.

Mengapakah seorang Ketua Menteri di Kuching atau Kota Kinabalu harus merayu dana pembangunan, sedangkan dana itu berasal dari tanah dan laut mereka sendiri? Mengapa pedalaman Belaga atau Pensiangan, Pitas dan Kudat masih terbiar mundur, sedangkan gas Borneo menerangi menara-menara pencakar langit di Kuala Lumpur? Mengapa identiti dan tanah adat perlu digubal oleh mereka yang tiada kepentingan dalam kelangsungannya?Ini bukan kesamarataan — ia adalah eksploitasi yang disaluti patriotisme. Dan eksploitasi tidak akan kekal selamanya.

Bentuk Federalisme SebenarApa yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak bukanlah sesuatu yang radikal. Ia munasabah, adil, dan telah pun dijanjikan. Garis besar sistem persekutuan yang tulen sudah jelas:Keadilan Hasil: Secara logik, sekurang-kurangnya 50% hasil minyak dan gas mesti kekal di Sabah dan Sarawak. Apa-apa yang kurang dari itu adalah rompakan terang-terangan.

Kesetaraan Politik: Satu pertiga kerusi Parlimen mesti dikhaskan untuk kedua-dua negeri, bagi memastikan tiada pindaan Perlembagaan boleh dipaksakan tanpa persetujuan mereka.

Autonomi Dipulihkan: Kawalan terhadap pendidikan, kesihatan, imigresen, dan tanah mesti dikembalikan kepada kerajaan negeri — yang lebih dekat dengan rakyat.

Hak Peribumi Dilindungi: Tanah adat, undang-undang, dan budaya masyarakat peribumi mesti dijamin oleh Perlembagaan, bukan dikikis atas nama keselesaan persekutuan.

Ini bukanlah pemisahan. Ini adalah federalisme sebagaimana yang sepatutnya.

Penyatuan Melalui KeadilanAda yang di Malaya memberi amaran bahawa memberi lebih autonomi akan melemahkan Malaysia. Hakikatnya, yang berlaku adalah sebaliknya. Sebuah persekutuan yang mengabaikan kesamarataan sedang menanam benih perpecahan.

Tetapi sebuah persekutuan yang menghormati rakan-rakannya akan mengikat mereka lebih erat daripada sebarang slogan atau bendera.

Sabah dan Sarawak tidak meminta sedekah. Mereka menuntut maruah. Mereka menuntut keadilan. Mereka menuntut Malaysia menjadi apa yang sepatutnya — sebuah persekutuan yang setara, bukan hierarki tuan dan bawahan.

Kesimpulan: Pilihan berada di Hadapan MalaysiaMasa untuk gimik kosmetik telah berakhir. Sabah dan Sarawak sudah menunggu terlalu lama. Persoalannya kini ialah sama ada Putrajaya mempunyai keberanian untuk menunaikan MA63 bukan sekadar dalam retorik, tetapi dalam undang-undang, dasar, dan pelaksanaan.

Kerana jangan silap: ikatan ini semakin longgar. Dan apabila kepercayaan sudah runtuh hingga tidak dapat dipulihkan, tiada lagi laungan “Malaysia Madani” atau perarakan Merdeka yang boleh mampu menyatukan persekutuan ini.

Malaysia mesti memilih. Hormati Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi — atau berisiko kehilangan keyakinan yang menjadi nadi kelangsungan negara ini.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan Harian Ekspres.