
Kota Kinabalu: Datuk Albert Tei membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa dirinya disenarai hitam daripada memasuki Sabah, satu tindakan yang didakwanya bertujuan menghalangnya daripada menghadiri perbicaraan mahkamah.
Tei berkata dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Isnin (22 Sept) apabila pegawai imigresen memaklumkan dia tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.
Bagaimanapun, dia akhirnya dibenarkan masuk selepas mengemukakan dokumen bagi membuktikan kehadirannya di mahkamah.
Katanya penyenaraian hitam itu dikenakan pada Ogos, hanya beberapa minggu sebelum prosiding yang dijadualkan berlangsung.
“Kalau saya tidak dapat hadir ke mahkamah, kes itu boleh digugurkan. Ini secara tidak langsung akan menguntungkan pihak yang sedang berdepan pertuduhan,” katanya kepada pemberita, Selasa.
Tei bercakap di luar Mahkamah Khas Rasuah di sini selepas hakim menolak permohonan peguam yang mewakili dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mengenakan perintah larangan terhadapnya.
“Kes ini sudah dilaporkan di seluruh negara. Tiada sebab untuk menutup mulut saya – saya mempunyai hak berperlembagaan untuk bersuara,” katanya sambil menyambut baik keputusan mahkamah itu.
Dia menggesa SPRM dan Pejabat Peguam Negara meneruskan pendakwaan terhadap enam Adun serta seorang Speaker Dun yang didakwanya turut terlibat.
“Saya tidak takut didakwa. Kalau mereka mahu dakwa saya, silakan – saya bersedia menghadapinya di mahkamah,” katanya.
Tei berkata dia tidak mempunyai sebarang kaitan politik dan memberi amaran agar tiada pihak cuba menggunakan kesnya untuk kepentingan politik.
“Saya percaya pihak berkuasa telah menyiasat latar belakang saya. Saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana kumpulan atau parti politik. Saya tidak campur dalam politik. Jadi saya beri amaran kepada semua supaya jangan menunggang isu saya untuk agenda politik mereka,” katanya.
Dia turut mendakwa maklumat sulit mengenai keterangannya kepada SPRM telah dibocorkan dan menggesa pembersihan dalam agensi itu bagi memastikan ketelusan.
“Saya tidak akan gentar. Jika terus ditekan, saya akan mendedahkan lebih banyak bukti malah kepada organisasi antarabangsa untuk semakan forensik bebas,” tambahnya.
Tei berkata dia telah membuat dua laporan berasingan – satu kepada polis dan satu lagi kepada SPRM – berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang serta salah guna kuasa dalam pengendalian kesnya.
Dia juga menafikan khabar angin bahawa seorang ahli perniagaan membiayainya, sambil menegaskan urusan perniagaannya disusun dalam bentuk usaha sama dan bukannya pembiayaan peribadi.
