
SANDAKAN: Pantai Timur Sabah mencatatkan rekod sifar kes culik untuk wang tebusan (KFR) sejak Januari 2020, satu pencapaian besar hasil keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam mengawal sempadan dan perairan negeri itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penurunan drastik jenayah penculikan itu membuktikan strategi keselamatan yang dirancang kerajaan berjaya, khususnya melalui penggabungan tiga elemen utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada strategi terancang melalui penempatan aset, pemantauan, kesiapsiagaan serta pengurusan berpusat di bawah Central Command Esscom,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Wira Madani, Maritim di Santuni dan Tinjauan Pelaksanaan Ron95 (Budi95) di Sandakan pada Sabtu.
Keyakinan terhadap tahap keselamatan semasa mendorong kerajaan memperkenalkan semula potensi pelancongan di kawasan Pantai Timur Sabah.
Malah, beberapa negara telah menarik balik larangan perjalanan selepas diplomat dan wakil asing dibawa melawat pulau-pulau di kawasan berkenaan.
Saifuddin menambah, keamanan yang dicapai memberi kesan langsung kepada pertumbuhan industri pelancongan.
Antaranya, Lapangan Terbang Tawau kini menerima empat hingga lima penerbangan antarabangsa sehari dari China dengan fasiliti sembilan kaunter imigresen.
Dalam aspek aset keselamatan, APMM diperkukuh dengan bajet penyelenggaraan berjumlah RM470 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.
Selain itu, kerajaan turut menambah aset baharu termasuk kapal dari Turkey serta empat helikopter yang sedang dalam pembinaan.
“Keselamatan dan keamanan bukan datang bergolek, sebaliknya hasil perancangan rapi. Justeru, APMM kekal relevan pasca peristiwa Tanduo bersama-sama ATM dan polis dalam menguasai keselamatan Pantai Timur Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat perlu diberi pendedahan mengenai usaha ini agar mereka memahami keamanan negara dicapai melalui pengorbanan dan kesiapsiagaan agensi keselamatan.



