
PETALING JAYA: Axiata Group Berhad (Axiata) mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) asas kepada RM717.2 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2026.
Prestasi kukuh itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada syarikat-syarikat operasinya, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam pelaksanaan strategi Axiata28: Advancing Asia yang memasuki enam bulan pertama pelaksanaannya.
Dalam tempoh berkenaan, kumpulan menerima RM875.3 juta dalam bentuk dividen daripada syarikat operasi, mencerminkan aliran tunai yang semakin pelbagai daripada portfolio perniagaannya serta menyokong usaha meningkatkan pulangan jangka panjang kepada pemegang saham.
Walaupun berdepan tekanan kadar pertukaran asing, Axiata mencatatkan pertumbuhan asas yang kukuh.
Pada asas mata wang malar, pendapatan kumpulan meningkat 7.3 peratus, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berkembang 14.1 peratus.
Keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula melonjak 80.9 peratus, disokong sinergi hasil penggabungan, peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berdisiplin di seluruh portfolio.
Berdasarkan angka dilaporkan, pendapatan kumpulan berjumlah RM5.7 bilion, meningkat seiring prestasi operasi yang lebih baik, manakala EBITDA berkembang 1.7 peratus dan EBIT meningkat 60.7 peratus tahun ke tahun.
Dari segi kedudukan kewangan, Axiata mengekalkan kunci kira-kira yang berdaya tahan dengan tunai sebanyak RM3.7 bilion.
Kumpulan turut meneruskan pelaburan dalam pemodenan rangkaian dan pelaksanaan teknologi 5G di seluruh pasaran operasinya.
Dalam pada itu, pinjaman syarikat pegangan menurun berbanding tahun sebelumnya meskipun pelaburan meningkat di seluruh portfolio, mencerminkan pendekatan berdisiplin dalam peruntukan modal, pengurusan kunci kira-kira dan liabiliti.
Nisbah hutang bersih kepada EBITDA berada pada paras 2.63 kali.
Bagi segmen telekomunikasi, perniagaan berkenaan kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan dan penjanaan tunai Axiata pada separuh pertama 2026, disokong keadaan pasaran yang bertambah baik, sinergi penggabungan dan pelaksanaan operasi yang berdisiplin.
CelcomDigi meneruskan prestasi berdaya tahan menerusi kecemerlangan operasi, pertumbuhan perkhidmatan konvergens dan pengurusan kos yang berdisiplin.
XLSMART pula mengekalkan momentum kukuh selepas penggabungan, dengan proses integrasi berjalan lebih awal daripada perancangan dan menyumbang kepada peningkatan keuntungan.
Robi mengukuhkan kedudukan pasarannya menerusi pertumbuhan pelanggan dan peningkatan penggunaan data, meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.
Dialog pula mencatatkan satu lagi prestasi kukuh hasil pertumbuhan perniagaan mudah alih, disiplin kos dan pulangan kepada pemegang saham, selain mengekalkan kedudukan sebagai peneraju 5G.
Smart terus mendapat manfaat daripada permintaan data yang kukuh, peningkatan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) serta kedudukan kewangan yang kukuh.
Linknet pula menunjukkan tanda pemulihan operasi menerusi pertumbuhan pelanggan dan peningkatan momentum dalam segmen perusahaan.
Sementara itu, EDOTCO mengekalkan momentum operasi asas yang berdaya tahan meskipun berdepan kesan pertukaran mata wang asing.
Portfolio teknologi kumpulan turut mencatatkan kemajuan dalam usaha mencapai keuntungan sambil mengembangkan perniagaan untuk pertumbuhan masa depan.
ADA mengekalkan pertumbuhan pendapatan dua digit, didorong perniagaan penyelesaian serta peningkatan permintaan terhadap perdagangan digital, data dan perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Boost pula mencatatkan prestasi lebih kukuh, disokong pengembangan buku pinjaman serta pertumbuhan berterusan platform perkhidmatan kewangan digitalnya.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, berkata Lembaga Pengarah menyambut baik prestasi lebih kukuh yang dicatatkan oleh perniagaan kumpulan serta peningkatan sumbangan daripada seluruh portfolio.
“Keputusan ini mencerminkan kekuatan portfolio Axiata dan mengukuhkan keyakinan kami terhadap strategi Axiata28: Advancing Asia,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan kumpulan kekal kepada pengukuhan kedudukan kewangan, menyokong pulangan mampan kepada pemegang saham dan mewujudkan nilai jangka panjang.
Sehubungan itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 5.5 sen sesaham, sekali gus mengukuhkan komitmen kumpulan dalam memberikan nilai mampan kepada pemegang saham.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Nik Rizal Kamil berkata, prestasi separuh pertama 2026 menunjukkan kekuatan portfolio telekomunikasi dan teknologi kumpulan serta kemajuan yang dicapai menerusi strategi Axiata28.
Katanya, manfaat daripada struktur pasaran yang lebih kukuh, sinergi penggabungan, kecemerlangan operasi dan peruntukan modal yang berdisiplin semakin diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan, sumbangan lebih luas daripada portfolio serta pulangan mampan kepada pemegang saham.
“Sebagai pengurus aset pintar, peranan kami adalah membolehkan setiap perniagaan merealisasikan potensi sepenuhnya sambil memperuntukkan modal kepada bidang yang mampu mencipta nilai paling tinggi.
“Pendekatan ini membolehkan kami mengukuhkan pulangan kepada pemegang saham, selain membina Axiata yang lebih berdaya tahan dan mempunyai portfolio yang lebih pelbagai,” katanya.-UTUSAN
The post Untung bersih Axiata Group melonjak kepada RM717.2 juta separuh pertama 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





