
PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Berhad mencatatkan prestasi kewangan positif bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 apabila merekodkan untung bersih sebanyak RM155 juta, disokong pertumbuhan jualan domestik dan eksport serta kecekapan pengurusan kos di seluruh operasi syarikat.
Perolehan syarikat bagi suku berkenaan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion berbanding RM1.67 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan kukuh terhadap portfolio jenama utama Nestlé Malaysia selain keupayaannya mengekalkan relevansi dalam memenuhi keperluan pengguna.
Bagi tempoh sama, untung sebelum cukai meningkat kepada RM205.7 juta, manakala peningkatan keuntungan disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentasi pelbagai kategori produk, pengurusan kos yang berkesan serta peningkatan kecekapan di seluruh rantaian nilai.
Nestlé Malaysia berkata pelaburan berterusan dalam inovasi dan pembangunan jenama terus mengukuhkan kategori utama syarikat termasuk kopi, pemakanan berkhasiat dan tawaran gaya hidup aktif menerusi jenama terkenal seperti Milo, Maggi, Nescafe dan Kitkat.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, syarikat mencatatkan perolehan RM3.69 bilion, meningkat 7.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh berkenaan, untung sebelum cukai meningkat kepada RM477.6 juta, manakala untung bersih melonjak kepada RM360.1 juta, mencerminkan prestasi separuh pertama yang lebih kukuh hasil strategi pertumbuhan berterusan, disiplin pengurusan kos dan kecemerlangan operasi.
Sejajar dengan komitmen menjana nilai mampan kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah Nestlé Malaysia mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak RM0.80 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, lebih tinggi berbanding RM0.70 sesaham pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata pengguna Malaysia kini semakin teliti dalam membuat pilihan dengan mengambil kira aspek pemakanan, kualiti, kemudahan dan nilai dalam perbelanjaan harian.
“Prestasi kami menunjukkan jenama-jenama kami terus memenuhi jangkaan pengguna berikutan kekuatan portfolio serta keupayaan kami untuk kekal relevan dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pengguna yang berubah, sambil mengekalkan tumpuan terhadap penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, syarikat akan terus memperkukuhkan asas pertumbuhan menerusi pelaburan dalam pembangunan bakat, pendigitalan, peningkatan kecemerlangan pembuatan serta pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport Halal strategik bagi Kumpulan Nestlé.
“Selain mencatatkan prestasi kewangan kukuh, kami terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan untuk menjana pertumbuhan menguntungkan pada tahun-tahun akan datang menerusi inovasi produk yang relevan, pemodenan operasi dan peningkatan kecekapan,” katanya.
Dalam agenda kelestarian, Nestlé Malaysia turut meneruskan inisiatif berkaitan kitar semula plastik serta memperkukuhkan ekosistem Halal dengan kerjasama rakan kongsi tempatan.
Menurut syarikat, usaha berkenaan mencerminkan komitmen untuk memberi sumbangan bermakna kepada pengguna, komuniti dan negara menerusi bidang yang mempunyai impak jangka panjang.
Mengulas prospek separuh kedua 2026, Aranols berkata, keutamaan syarikat kekal kepada usaha mengekalkan momentum pertumbuhan jualan menerusi pengukuhan jenama teras, mempergiat inovasi serta memperluaskan kedudukan dalam semua saluran komersial.
Beliau berkata, walaupun persekitaran liar terus dipengaruhi ketidaktentuan global dan perubahan corak perbelanjaan pengguna, Nestlé Malaysia yakin mampu menempuh cabaran berkenaan dan mencatatkan keputusan kewangan kukuh bagi tahun kewangan 2026.
Pada masa sama, syarikat akan meneruskan pelaburan dalam pemodenan operasi pengeluaran dan rantaian bekalan melalui pendigitalan, automasi serta teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan, keupayaan bertindak balas dan daya saing jangka panjang. – UTUSAN
The post Nestlé Malaysia catat untung bersih RM155 juta pada suku kedua 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






