Untung bersih E&O meningkat 14% kepada RM34.4 juta pada 3QFY24
diyana
22/02/2024 - 16:16
KUALA LUMPUR 22 Feb - Eastern & Oriental Berhad (E&O) mencatat keuntungan bersih RM34.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), 14% lebih tinggi daripada RM30 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan keuntungan itu adalah berikutan pendapatan lebih tinggi daripada segmen hartanah dan hospitaliti, serta keuntungan pertukaran mata wang asing tidak direalisasi sebanyak RM37.8 juta.
Pendapatan pemaju hartanah itu bagi suku dalam tinjauan turut meningkat 13.6% kepada RM92 juta berbanding RM81.2 juta sebelumnya.
Pendapatan sesaham (EPS) pula menurun kepada 1.88 sen daripada 2.07 sen, menurut makluman E&O kepada Bursa Malaysia.
Menurut E&O, pendapatan segmen hospitaliti kumpulan meningkat 15% kepada RM77.4 juta daripada RM67.3 juta didorong kadar purata bilik dan kadar penghunian yang lebih tinggi dalam tempoh kewangan semasa.
Pendapatan segmen hartanahnya pula melonjak 20.7% kepada RM220 juta pada 3QFY24 daripada RM182 juta tahun sebelumnya disebabkan pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada projek Arica di Pulau Andaman yang sedang dibina.
Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024 (9MFY24), keuntungan bersih E&O meningkat tiga kali ganda kepada RM97.13 juta daripada RM28.45 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan kumpulan turut meningkat 19.28% kepada RM301.5 juta dalam 9MFY24 berbanding RM252.77 juta tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, kumpulan itu bakal melancarkan kondominium mewah berkepadatan rendah menawarkan 261 unit kediaman pada suku kedua 2024.
“Baki kerja-kerja penambakan untuk Pulau Andaman Fasa 2 seluas 205 hektar sedang berjalan dengan lancar dan mengikut jadual. Prestasi yang berterusan amat menggalakkan dan kami menjangkakan momentum ini berlanjutan ke suku berikutnya,” katanya.- DagangNews.com
