Untung bersih Maxis jatuh 76% pada 4QFY23 ekoran pembayaran cukai taksiran, penalti RM73 juta

Business & Finance
22 Feb 2024 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Maxis jatuh 76% pada 4QFY23 ekoran pembayaran cukai taksiran, penalti RM73 juta

diyana

22/02/2024 - 15:30

KUALA LUMPUR 22 Feb - Keuntungan bersih Maxis jatuh 76% kepada RM56 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding RM233 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Kemerosotan tersebut diheret oleh pembayaran cukai taksiran dan penalti sebanyak RM73 juta yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Ini menjadikan pendapatan sesaham (EPS) pada suku itu menurun kepada 0.7 sen daripada 3 sen tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku berkenaan meningkat 7.4% kepada RM2.74 bilion daripada RM2.55 bilion setahun lalu didorong pertumbuhan merentasi perniagaan pengguna dan perusahaan.

Maxis mengisytiharkan dividen interim 4 sen sesaham untuk 4QFY23, menjadikan pembayaran dividen setahun penuhnya kepada 16 sen sesaham.

Secara kumulatif, keuntungan bersih kumpulan itu merosot 13.8% kepada RM993 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding RM1.15 bilion untuk FY22, manakala pendapatan meningkat 4% kepada RM10.2 bilion daripada RM9.79 bilion.

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata hasil perkhidmatan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada tahun tersebut merupakan paras tertinggi dicapainya dalam lima tahun.

Hasil perkhidmatan adalah 2.8% lebih tinggi kepada RM8.57 bilion, menyumbang kepada peningkatan EBITDA sebanyak 0.8% kepada RM3.93 bilion. Sementara itu, perbelanjaan modal (capex) kumpulan pada tahun tersebut berjumlah RM813 juta, 27% lebih rendah daripada FY22.

Bagi FY24, Maxis menyasarkan pertumbuhan hasil perkhidmatan satu digit rendah dan EBITDA secara relatif tidak berubah. Ia turut berhasrat mengekalkan perbelanjaan modal di bawah RM1 bilion tahun ini. - DagangNews.com