Untung bersih Hartalega meningkat lebih 5 kali ganda kepada RM74.54 juta pada FY25

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 2:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Hartalega meningkat lebih 5 kali ganda kepada RM74.54 juta pada FY25

image is not available

06/05/2025 - 14:33

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Untung bersih Hartalega Holdings Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) meningkat lebih lima kali ganda kepada RM74.54 juta berbanding RM12.5 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya dipacu peningkatan jumlah jualan dan purata harga jualan (ASP) sarung tangan.

Hasil kumpulan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM2.59 bilion berbanding RM1.84 bilion pada tahun lalu.

Pada suku 4QFY25, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM14.48 juta, lebih rendah sedikit daripada RM14.9 juta pada suku tahun lalu, dengan hasil RM611.55 juta, meningkat daripada RM530.34 juta pada 4QFY24.

"Peningkatan ini didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dan margin operasi yang lebih baik disokong peningkatan dalam ASP dan kecekapan operasi.

"Bagaimanapun, keuntungan kumpulan itu terkesan akibat perbelanjaan bukan operasi yang lebih tinggi yang diiktiraf pada suku tersebut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai prospek, sektor sarung tangan getah dijangka meneruskan momentum pemulihannya pada 2025, didorong gabungan faktor termasuk normalisasi permintaan secara beransur-ansur serta perubahan dalam dinamik geopolitik dan perdagangan.

Katanya, aktiviti penyimpanan semula yang bermula sejak tahun lepas berkemungkinan menyokong arah aliran permintaan yang bertambah baik untuk tahun tersebut.

Ketegangan geopolitik yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah mengubah landskap perdagangan dan membawa kepada pengalihan import sarung tangan getah dari China, berkemungkinan memberikan pemangkin positif kepada pengeluar Malaysia untuk merampas semula bahagian pasaran di AS.

"Melangkah ke hadapan, kumpulan akan memberi tumpuan kepada dua pelan strategik teras bagi mengukuhkan kedudukan daya saingnya dalam industri.

"Melalui pengoptimuman operasi, kumpulan akan terus memacu inisiatif automasi dan transformasi digital untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan kos merentas semua kemudahan," katanya.- DagangNews.com

standard