Untung bersih MR DIY pada 2QFY25 naik kepada RM158.6 juta

13/08/2025 - 17:49
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Untung bersih MR DIY Group (M) Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) naik kepada RM158.6 juta berbanding RM155.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong purata kos inventori yang lebih rendah berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan renminbi China.
Hasil kumpulan pada suku berkenaan juga naik kepada RM1.21 bilion berbanding RM1.19 bilion pada 2QFY24.
Bagi tempoh separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), untung bersih kumpulan berkembang kepada RM332.73 juta berbanding RM300.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan hasil juga meningkat kepada RM2.47 bilion berbanding RM2.34 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, prestasi semasa kumpulan menyerlahkan daya tahannya disebalik kenaikan gaji pekerja, ketidaktentuan pasaran akibat ketegangan geopolitik dan pelarasan tarif AS.
Beliau berkata, pasa masa ini, pihaknya tidak menjangkakan sebarang impak material daripada perubahan dasar domestik terkini termasuk semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada Julai 2025 serta sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2% bagi pekerja asing.
Katanya, sentimen pengguna kekal berhati-hati, dengan pembeli terus mencari nilai dalam keadaan yang tidak menentu ini.
"Kami berada pada kedudukan yang unik untuk memenuhi permintaan ini. Kempen RM2 kami yang dilancarkan pada April 2025 merupakan antara inisiatif untuk membantu pelanggan menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih baik.
"Kami berbesar hati untuk mengumumkan, kempen itu akan diteruskan dan kini merangkumi hampir 1,000 produk," katanya dalam satu kenyataan.
MR DIY mengisytiharkan dividen 2QFY25 sebanyak RM142.1 juta – peningkatan sebanyak 25.2% tahun ke tahun dan mewakili kadar pembayaran dividen sebanyak 89.6%.
Berdasarkan jumlah dividen sebanyak 5.7 sen bagi empat suku terakhir (termasuk dividen 2QFY25).- DagangNews.com
standard
